Tingkat data percuma 1GB kepada 3GB: GPMS Perak

GPMS Perak gesa data internet percuma ditingkatkan daripada 1GB kepada 3GB bagi tujuan pelaksanaan PdPR. - Foto 123RF
GPMS Perak gesa data internet percuma ditingkatkan daripada 1GB kepada 3GB bagi tujuan pelaksanaan PdPR. - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak menggesa supaya data internet percuma ditingkatkan daripada 1GB kepada 3GB bagi tujuan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengerusinya, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, jumlah data 1GB yang diberikan secara percuma itu tidak mencukupi dengan kadar kekerapan penggunaan untuk pembelajaran.

Menurutnya, pemberian data tambahan percuma itu harus diberikan keutamaan kepada kumpulan yang terlibat dengan PdPR melibatkan pelajar sekolah dan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Menyedari pentingnya capaian internet dalam menjalankan PdPR, kerajaan perlu terus mendesak syarikat-syarikat telco tempatan supaya menambah pemberian percuma data internet kepada pelajar sekolah dan IPT ini.

"Kita juga menggesa kerajaan supaya segerakan penyelesaian masalah capaian internet dan penyediaan peranti kepada pelajar terutamanya kumpulan B40," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, pelbagai reaksi dan keluhan daripada ibu bapa dan pelajar berkaitan dengan sesi PdPR yang diterima oleh GPMS Perak sejak dilaksanakan tahun lalu.

Sementara itu katanya, selain masalah capaian internet, faktor terbesar lain adalah ketiadaan peranti dalam kalangan pelajar.

Muhammad Asree berkata, GPMS Perak memahami, pelbagai inisiatif dan pendekatan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi kebebasan kepada guru memilih kaedah yang bersesuaian melaksanakan PdPR, namun faktor-faktor berkenaan boleh menjejaskan pelajar sama ada di luar bandar atau di kawasan bandar.

Artikel Berkaitan:

"GPMS menghormati usaha KPM melalui pembentangan Belanjawan 2021 yang telah diumumkan tempoh hari untuk menyediakan komputer riba melalui Tabung Cerdik sebanyak RM150 juta namun alangkah baiknya jika peruntukan itu dapat disalurkan kepada semua pelajar di Malaysia yang berjumlah hampir 1.7 juta pelajar dalam bentuk pemberian tablet," katanya.

Sementara itu, Muhammad Asree berpandangan, pendidikan di Malaysia perlu segera beradaptasi dengan normal baharu dan menjadikan situasi pandemik Covid-19 sebagai 'reset button' dalam mereformasi pendidikan negara.

Jelasnya, situasi kini mungkin terlalu janggal daripada kebiasaan tetapi ia merupakan hakikat bahawa perkembangan dalam pendidikan telah berubah dengan pantas.

Tambahnya, kaedah konvensional dan bersemuka di dalam kelas berbentuk segi empat bukan lagi alternatif utama dalam menyampaikan ilmu tetapi ia telah berkembang kepada sudut yang lebih luas.