Kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Maritim Selangor menahan sebuah kapal tanker disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey pada Jumaat.
Maritim Selangor menahan sebuah kapal tanker disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey pada Jumaat.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal tanker disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika barat laut Pulau Carey pada Jumaat.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, penahanan itu hasil perkongsian maklumat dan operasi bersama dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah berhubung sebuah kapal tanker yang sedang bersauh di perairan itu.

"Sebaik menerima maklumat tersebut, bot ronda kami yang sedang melaksanakan Op Ehsan terus ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Setibanya di lokasi, pihak kami bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah membuat pemeriksaan ke atas kapal dan didapati kapal berkenaan disyaki melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kapal itu dikendalikan 15 kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia dari 20 hingga 64 tahun dan kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan dijalankan mendapati ejen kapal yang dilantik turut berada di atas kapal tersebut. Hasil siasatan lanjut, kapal terbabit juga disyaki melakukan kesalahan pemindahan minyak," kata beliau lagi.

Menurutnya, kapal yang berdaftar di Singapura itu dalam perjalanan dari Tanjung Pelepas, Johor ke Pelabuhan Klang.

"Kapten, Pembantu Jurutera Kapal serta ejen ditahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya” katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Negeri Selangor.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS999," katanya.