Ordinan Darurat ambil kira semua aspek

Takiyuddin (tiga dari kanan) bersama Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat turun padang melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di ICQS, Rantau Panjang pada Sabtu.
Takiyuddin (tiga dari kanan) bersama Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat turun padang melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand di ICQS, Rantau Panjang pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat mengambil kira soal kedaulatan negara, kesihatan dan ekonomi selaras dengan langkah kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa 11 Januari lalu bagi melawan Covid-19 di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dalam memperkasakan lagi usaha itu, jawatankuasa berkenaan telah turun padang pada Sabtu untuk melakukan tinjauan dan segala input berkaitan situasi semasa di sempadan negara di negeri ini.

"Segala input dan maklumat ini kita akan bentang kepada kerajaan Kelantan dalam satu mesyuarat yang berlangsung esok (Ahad).

"Dari situ kita (kerajaan Persekutuan) akan melihat apa keperluan negeri terutama dalam isu pengambil alihan bangunan untuk kegunaan sepanjang pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam, Imigresen,Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada Sabtu.

Terdahulu, beliau bersama Jawatankuasa Pengurusan Teknikal Darurat turun padang melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang.

Menurutnya, menerusi Ordinan Darurat itu, kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil alih bangunan atau tanah di kawasan sempadan menerusi pemilikan sementara.

Beliau berkata, pengambil alihan itu bergantung kepada keperluan kerajaan sepanjang pandemik Covid-19 sahaja.

Sinar Harian 15 Januari lalu melaporkan, kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang berkuat kuasa mulai 11 Januari lalu sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ordinan setebal 12 muka surat yang mengandungi 18 perkara itu telah diwartakan dan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Indera Mahkota, Kuantan pada 14 Januari.

Ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Terdahulu, Istana Negara pada 12 Januari lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari hingga 1 Ogos depan.

Perkara 150 (1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika Seri Paduka Baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.