X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO Selangor hormati institusi presiden

Noh (depan, kanan) turut bersama-sama melakukan operasi sanitasi pada Pelancaran Program Sanitasi Prihatin di SMK Tiram Jaya, pada Sabtu.
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor akan terus menghormati institusi presiden bagi mengukuhkan kekuatan dan kedudukan parti itu dalam membela nasib orang Melayu di negara ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pendirian UMNO negeri itu jelas selari dengan peraturan dan perlembagaan yang ada di dalam parti berkenaan.

Malah, katanya, jawatan Presiden UMNO merupakan jawatan yang dipilih perwakilan dan ia perlu dipertahankan sehingga pemilihan parti pada masa akan datang.

"Saya difahamkan pemilihan UMNO akan diadakan pada tahun ini jadi kita tunggulah sehingga pemilihan parti (bagi menentukan Presiden UMNO)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Pelancaran Program Sanitasi Prihatin di luar pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jay, di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, meskipun terdapat gesaan yang mahukan presiden parti berundur, tetapi ia tidak mewakili suara majoriti.

Malah, katanya, UMNO Selangor juga tidak menerima sebarang usul daripada semua bahagian di negeri itu yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan disandangnya semasa persidangan perwakilan UMNO bahagian pada 1 hingga 3 Januari lalu.

"Kalau ada pun desakan itu hanyalah pandangan bersifat individu semata-mata kerana isu penting seperti ini mesti dibincangkan dalam mesyuarat atau di peringkat bahagian untuk diusulkan.

"Kita di Selangor tidak menerima apa-apa usul mengenai desakan terbabit dan akan terus mempertahan institusi presiden," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu desak Zahid undur: Veteran UMNO nasihat semua bertenang

Noh menegaskan, beliau bimbang sekiranya institusi presiden tidak dipertahankan ia hanya menampakkan parti itu lemah dan tidak dihormati.

"Kalau UMNO hendak dihormati kawan dan lawan kita jangan berpecah-belah dan kita mesti mengikut peraturan dan saluran yang telah ditetapkan parti," katanya.

Sejak kebelakangan ini, tersebar di media sosial beberapa gambar kain rentang yang digantung di kawasan awam mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, beberapa UMNO bahagian kemudian tampil menafikan mereka terlibat dalam penggantungan kain rentang berkenaan.

Selain itu, Ahmad Zahid turut berdepan desakan serupa daripada beberapa individu yang menggesa beliau berundur daripada jawatan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!