X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen PH gesa tubuh Jawatankuasa Bipartisan KL 2024

Ahli-ahli Parlimen PH Wilayah Persekutuan KL gesa kerajaan libatkan mereka dalam pentadbiran Kuala Lumpur dengan menubuhkan Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024.
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan melibatkan mereka dalam pentadbiran Kuala Lumpur dengan menubuhkan Jawatankuasa Bipartisan Kuala Lumpur 2024.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Ahli Parlimen Cheras,Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Turut bersama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Menerusi kenyataan bersama itu, mereka menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menetapkan secara jelas hala tuju pembangunan dan pentadbiran di Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Wilayah.

“Bandaraya Kuala Lumpur memerlukan pentadbiran yang baik serta visi yang segar dan baharu. Justeru, kami menyeru Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan jawatankuasa itu serta menggubal dasar dan perancangan bermula dari sekarang sehingga tahun 2024.

“Beliau (Annuar) juga digesa supaya mewujudkan kerjasama di antara agensi-agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Kuala Lumpur dengan Ahli Parlimen PH untuk bersama mentadbir Kuala Lumpur.

“Ini kerana kami telah dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mempunyai keabsahan mewakili suara rakyat Kuala Lumpur serta mengangkat masalah dihadapi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahupun kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan pada Sabtu.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan turut menggesa kerajaan supaya melaksanakan projek rintis Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur supaya penambahbaikan dan model yang paling sesuai boleh diguna pakai untuk pelaksanaan di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

Menurut mereka, Kuala Lumpur merupakan bandar raya paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan kerana ia merupakan ibu kota yang mempunyai belanjawan dan populasi yang tinggi.

“Kerajaan PN harus mengkaji langkah-langkah untuk menjalankan pendemokrasian bermula di Kuala Lumpur kerana terdapat banyak bandaraya bertaraf dunia di negara-negara lain yang melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi penduduk memilih Datuk Bandar dan ahli majlis bandaraya.

"Pilihan raya kerajaan tempatan juga diadakan di bandar raya di rantau ASEAN seperti di Bangkok, Manila dan Jakarta.

“Sekiranya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dapat diwujudkan, maka sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menghapuskan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan tujuan untuk mengelakkan pertindihan bidang kuasa dalam pentadbiran di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu lagi.

Terdahulu, kesemua ahli Parlimen berkenaan berkata, kerajaan Persekutuan berkali-kali mengeluarkan perancangan dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya kelas dunia yang mempunyai perancangan yang teratur mengikut piawaian antarabangsa.

Bagaimanapun, dakwa mereka, impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia gagal kerana mantan menteri enggan melaksanakan dan mewartakan Pelan Bandaraya KL yang digubal oleh pakar perancangan bandar.

“Sebaliknya, menteri sebelum ini telah meluluskan banyak projek pembangunan yang mempunyai kepadatan tinggi di tapak yang tidak sesuai di Kuala Lumpur sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Ini telah menghuru-harakan segala perancangan yang diatur untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf dunia,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!