Ahli Parlimen DAP persoal isu riadah Annuar Musa

Gambar dari kiri: Lip Eng, Annuar Musa
Gambar dari kiri: Lip Eng, Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegaskan rakyat berhak mendapatkan penjelasan daripada pihak polis sama ada tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melakukan riadah melebihi dua orang melanggar prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya.

Lip Eng berkata, laporan berita berkaitan menteri melanggar SOP bukanlah perkara baharu.

Setiap kali berita seperti itu dilaporkan akhbar, dakwanya, pihak berkuasa seolah-olah pura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh golongan terlibat manakala perbincangan mengenai hukuman pula dipanjang-panjangkan.

“Sedangkan apabila rakyat biasa melanggar SOP, tindakan serta-merta dikenakan ke atas mereka.

“Mengapakah sifat pilih kasih ini diamalkan oleh pihak berkuasa? Apakah menteri mendapat imuniti apabila mereka melakukan perbuatan melanggar SOP?” Soalnya.

Lip Eng berkata, dalam kes melibatkan Annuar, beliau percaya, rakyat berhak mendapat penjelasan daripada pihak polis meskipun Ahli Parlimen Ketereh itu sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu berkenaan.

Katanya, Annuar perlu didakwa di mahkamah dan memberi penjelasan di depan majistret.

“Sekiranya tidak (langgar SOP) apakah alasannya? Bukankah perbuatannya sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP? Mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti beriadah lebih dua orang dilarang sama sekali.

Artikel Berkaitan:

“Difahamkan bahawa mereka berjalan di laluan berasingan dan pertemuan adalah secara kebetulan.

"Sekiranya itu penjelasannya, biarlah kenyataan ini dipakai di hadapan majistret,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, ramai orang awam disaman dan dikenakan tindakan tegas dan kebanyakan daripada mereka tidak berpeluang untuk menjelaskan situasi.

Menurutnya, sekiranya orang awam perlu lalui perkara tersebut, maka Annuar juga harus melalui perkara yang sama.

Gambar dimuat naik Annuar di Twitternya yang menimbulkan pelbagai reaksi warganet.
Gambar dimuat naik Annuar di Twitternya yang menimbulkan pelbagai reaksi warganet.

“Sekiranya beliau (Annuar) tidak disiasat, rakyat sudah pastinya akan berang dan mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam menjalankan tugas.

“Hari demi hari kerajaan hanya membuktikan bahawa menteri dan rakyat adalah dari darjat yang berbeza,” katanya lagi.

Terdahulu, Annuar menerusi akaun Twitternya menafikan dakwaan beliau melanggar SOP yang dikuatkuasakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Isu itu timbul apabila Annuar memuat naik sekeping gambar menunjukkan beliau berjalan untuk tujuan bersenam bersama mantan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Dr Nordin Razak dan Datuk Nik Aminaldin Nik Jaafar.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai kerana beliau beriadah dalam kumpulan bertiga, sedangkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengehadkan dua orang untuk joging bersama di kawasan kejiranan.

Annuar memaklumkan, ketiga-tiga mereka membuat aktiviti ‘brisk walking’ dan terserempak di persimpangan jalan.

“Kami kemudiannya berpecah dan meneruskan riadah masing-masing. SOP dipatuhi,” katanya.