Pemandu Toyota Hilux ditahan bantu kes penghantar makanan maut

Motosikal yang ditunggang mangsa dalam kejadian.
Motosikal yang ditunggang mangsa dalam kejadian.
A
A
A

PUCHONG - Pemandu sebuah kereta Toyota Hilux ditahan polis bagi membantu siasatan kes kemalangan maut melibatkan seorang pekerja penghantar makanan dalam kejadian di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara Puchong dari arah Puchong ke arah Putra Height pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, siasatan lanjut dilakukan menerusi beberapa saksi bebas yang berada di lokasi kejadian dan dari sudut lain iaitu kejadian dipercayai melibatkan sebuah kenderaan lain.

"Pemandu kenderaan yang terlibat semasa kejadian ini, iaitu sebuah Toyota Hilux warna putih, telah tampil memberi keterangan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

"Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut Jabatan Kimia dan Puspakom, sementara pemandu Toyota Hilux berkenaan turut ditahan untuk diambil keterangan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kejadian pada Rabu, seorang pekerja penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer S1.4 Lebuhraya Damansara-Puchong, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pekerja wanita tersebut dikenali sebagai Wong Lai Yie, 30, maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis YZF-R15 terpelanting sejauh kira-kira 19 meter selepas disyaki melanggar pembahagi jalan.

"Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui kesan brek motosikal ditunggang mangsa. Dia yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan: