'Ultraman' sampaikan bantuan kepada mangsa banjir Pahang

Gambar hiasan - Foto Wikipedia
Gambar hiasan - Foto Wikipedia
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 20 peserta dari badan bukan kerajaan (NGO) menyertai misi bantuan dengan membawa bersama karakter adiwira Ultraman untuk membantu mangsa banjir di Pahang selama tiga hari mulai Jumaat.

Misi yang majoritinya disertai belia dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu bertolak ke Kuantan, Pahang lewat malam tadi, merupakan program kedua diadakan selepas misi pertama, dua minggu lalu.

Ketua ekspedisi, Amir Ghazali, 48, berkata, misi dengan kerjasama NGO antaranya Jalinan Muhibah, Yayasan Aman, Sinar Harapan dan persatuan Geng Superhero Penang (GSP) itu, membawa kira-kira satu tan metrik barangan bantuan seperti keperluan dapur, tilam, selimut, baju, tuala wanita, susu formula, lampin pakai buang serta alat dan cecair pencuci.

“Kesemua bantuan ini telah disumbangkan oleh penduduk Permatang Pauh kepada mangsa-mangsa banjir di sana (Pahang) malah, kita masih menerima sumbangan ketika ini. Kita telah mendapat kebenaran pihak berkuasa dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk misi kali ini,” katanya di sini.

Tambah beliau, pihaknya menerima banyak maklum balas positif daripada golongan muda dalam misi kemanusiaan sebelum ini dan berpendapat ia antara pendekatan terbaik dalam membina jati diri bangsa.

Sementara itu, wakil GSP, Muhammad Syukur Mohd Patthi, 27, berkata, dia akan memakai kostum adiwira Ultraman sepanjang misi bantuan itu berlangsung sebagai salah satu cara untuk menghiburkan orang ramai dan mangsa banjir yang dalam kesusahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: