Singapura gantung peraturan RGL dengan 3 negara termasuk Malaysia

Singapura akan menggantung peraturan RGL dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan mulai 1 Februari ini.
Singapura akan menggantung peraturan RGL dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan selama tiga bulan mulai 1 Februari ini.
A
A
A

SINGAPURA - Singapura akan menggantung peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan tiga negara termasuk Malaysia selama tiga bulan mulai 1 Februari ini, menurut Kementerian Luar (MFA) republik itu pada Sabtu.

Dua negara lain ialah Jerman dan Korea Selatan, menurut MFA dalam satu kenyataan di sini.

"Kerajaan Singapura akan mengkaji semula peraturan RGL pada penghujung tempoh penggantungan," menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa pelawat yang telah diluluskan untuk memasuki Singapura di bawah peraturan itu boleh terus melakukannya.

MFA turut menyatakan bahawa kerajaan Singapura akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadannya bagi menangani risiko kes import Covid-19 dan penularan jangkitan kepada komuniti.

Sebarang perubahan pada langkah sekatan sempadan akan dikemas kini di laman web SafeTravel dan pelawat disaran supaya melayari laman web itu untuk mengetahui langkah terkini yang dikeluarkan, menurut MFA.

Selain tiga negara berkenaan, Singapura turut melaksanakan peraturan RGL dengan Brunei, Indonesia, Jepun dan enam wilayah di China.

RGL bertujuan memudahkan perjalanan merentas sempadan bagi jangka masa pendek untuk tujuan perniagaan penting dan perjalanan rasmi.

Artikel Berkaitan:

Setakat 29 Januari, Singapura melaporkan 59,449 kes positif Covid-19 dengan 2,628 diklasifikasikan sebagai kes import, 2,313 kes dalam komuniti dan 54,508 melibatkan penghuni asrama. - Bernama