Itali henti eksport senjata kepada Arab Saudi dan UAE

Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio mengumumkan sekatan itu pada Jumaat. - Agensi
Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio mengumumkan sekatan itu pada Jumaat. - Agensi
A
A
A

ROM - Itali menyekat sepenuhnya penjualan senjata api kepada Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Langkah itu diambil selepas timbul kebimbangan dalam kalangan aktivis dan ahli Parlimen berhubung penggunaan senjata api yang melanggar hak asasi manusia di Yemen.

Menteri Luar, Luigi Di Maio mengumumkan sekatan itu pada Jumaat dengan alasan komitmen Rom untuk mengakhiri pertumpahan darah di Yemen dan melindungi hak asasi manusia.

"Ini adalah tindakan yang dianggap perlu dan mesej keamanan yang datang daripada negara kami," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Luar Negeri, Manlio Di Sefano berkata, keputusan itu dibuat minggu lalu selepas Perdana Menteri, Giuseppe Conte memberikan lampu hijau kepada cadangan diutarakan oleh Di Maio.

Jaringan Perdamaian dan Perlucutan Senjata Itali (IPDN) menyambut baik keputusan itu dan berkata, langkah berkenaan akan menyekat penjualan sekitar 12,700 peluru berpandu kepada Arab Saudi yang merupakan sebahagian daripada jumlah peruntukan 20,000 misil bernilai lebih daripada 400 juta Euro (sekitar RM2 bilion).

Jumlah berkenaan dipersetujui pada tahun 2016 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi. - Agensi

Artikel Berkaitan: