48 petugas kesihatan HSNZ dijangkiti Covid-19

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)
Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 48 petugas kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah, (HSNZ) dijangkiti Covid-19 sehingga Jumaat.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua mereka yang dijangkiti wabak itu telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan kenyataan bahawa terdapat jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di HSNZ.

"Siasatan bagi mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan manakala kontak rapat bagi kes terbabit telah disaring dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi merujuk mengenai isu berkaitan jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan yang ditularkan sejak semalam.

Nor Azimi berkata, bagi mengurangkan gangguan perkhidmatan sedia ada, perkhidmatan untuk rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma, HSNZ ditutup sementara bermula Jumaat.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan rawatan pesakit seperti perkhidmatan Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan dengan baik dan berada dalam keadaan terkawal.

"Orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) masih boleh mendapatkan rawatan, bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi turut meminta orang awam agar tidak menularkan sebarang berita tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, JKNT akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit di kawasan hospital.