‘Tak pernah tutup siasatan kes ah long’

SAIFUL AZLY. - FOTO: ROSLI TALIB
SAIFUL AZLY. - FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, ada individu yang kewangan mereka ‘tenat’ menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan wang tanpa perlu bersusah payah.

Pada masa sama, di media sosial pula pelbagai tawaran pinjaman mudah diiklankan sama ada oleh syarikat peminjam wang berlesen atau sebaliknya.

Tidak kurang juga ada yang tidak kisah meminjam wang daripada sumber tidak sah termasuk ah long disebabkan desakan hidup.

Malangnya, sikap segelintir golongan ini yang berani meminjam wang daripada lintah darat menyebabkan diri mereka terjerat dengan bayaran balik pinjaman yang berlipat kali ganda.

Mereka tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan terhadap diri sendiri bahkan turut mengancam keselamatan ahli keluarga yang akan menjadi mangsa orang upahan ah long jika gagal membayar balik pinjaman terbabit.

Perkara itu diakui oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang mahu masyarakat tampil membuat laporan polis jika ada sebarang maklumat atau pernah menjadi mangsa keganasan ah long.

Bagaimanapun katanya, masyarakat perlu faham kekangan undang-undang.

“Sebagai contoh, kita tangkap suspek susulan laporan diterima dan siasatan dilakukan. Kita mesti mengumpul bukti untuk mendakwa suspek di mahkamah, namun kadang-kadang kekurangan bukti,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Saiful Azly menegaskan, polis akan tetap membuka kertas siasatan terhadap ah long dan tidak melepaskan kes itu begitu sahaja. Begitupun, katanya, ada kemungkinan suspek terpaksa dibebaskan dengan jaminan ketika siasatan dilakukan kerana begitulah peruntukan undang-undang.

“Masyarakat tak paham dan menuduh polis ambil duit, suspek lepas. Tidak!, kita masih ada tindakan yang perlu dilakukan.

“Tolong fahami kami, kadangkala ‘tangan kami terikat’, masyarakat tidak faham. Kemudian timbul bermacam-macam tohmahan seperti polis ambil duit atau membabitkan orang politik. Kita tidak boleh mendedahkan semua perkara kepada umum,” katanya.

Selesai kes-kes lama

Bekas Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu juga mahu semua kes lama di bawah IPK Kuala Lumpur disiasat dan diselesaikan.

Saiful Azly turut memaklumkan beliau menerima laporan tahunan daripada semua jabatan di IPK Kuala Lumpur.

“Saya telah mengadakan mesyuarat di setiap jabatan dan sudah memberi arahan ‘kita sedang fokus ke arah sifar kes beku’.

“Suku pertama tahun ini, kita perlu menyelesaikan kes lama sebelum 2018. Jika tidak, ia akan menganiaya mangsa yang menunggu lama kes itu untuk diselesaikan,” katanya.

Saiful berkata, beliau bangga dengan kejayaan Jabatan Siasatan Komersial IPK Kuala Lumpur menyelesaikan 95 peratus kes tahun lalu berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 60 peratus.

“Saya gembira kerana ketua jabatan memahami kehendak saya tetapi beri kami peluang dan masa untuk menyelesaikan kes-kes ini,” katanya.

Saiful Azly turut memberi fokus terhadap Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur dalam menangani kadar jenayah ragut dan samun jalanan yang meningkat di ibu kota.

“Jenayah itu berlaku disebabkan adanya faktor keinginan dan peluang. Jika kita berjaya ‘menghapuskan’ salah satu faktor itu, pasti tidak berlaku jenayah

“Sebagai contoh kes ragut, penjenayah ada keinginan melakukan jenayah itu dan peluang itu mungkin berpunca daripada kelalaian mangsa,” ujarnya.

Menurutnya, salah satu faktor individu itu melakukan jenayah mungkin disebabkan desakan hidup di ibu kota.

“Namun kita bersyukur apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi peluang dan kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai dan perniagaan secara kecil-kecilan di kawasan yang sesuai di sekitar bandar raya.

“Tindakan ini bagus berdasarkan keadaan semasa walaupun ada segelintir yang mempertikaikannya,” jelas beliau.

Saiful Azly turut mengajar pegawai dan anggotanya supaya ‘bekerja dengan bijak, bukannya bekerja keras’.

“Tidak berguna jika kamu kerja keras tetapi objektifnya tidak tercapai,” kata Saiful Azly.

Beliau berkata, cara kerja 'tiada hari tanpa operasi' turut diterapkan di setiap jabatan di IPK Kuala Lumpur.

“Operasi yang dilaksanakan itu mengikut kesesuaian jabatan berkenaan. Contohnya, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) boleh menjalankan operasi memeriksa polis bantuan atau syarikat kawalan keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, walaupun anggota polis diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang, mereka juga hendaklah bersikap empati kepada masyarakat.

“Kita tidak boleh semberono melaksanakan undang-undang terhadap orang ramai,” tegasnya.

Integriti IPK Kuala Lumpur

Saiful Azly menegaskan aspirasi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador adalah mahu integriti anggota polis Kuala Lumpur menjadi teladan.

“Saya telah memberi arahan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) supaya mengambil tindakan terhadap anggota yang melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, ketua polis daerah perlu membuka kertas siasatan jika ada pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan jenayah.

“Mereka perlu segera menjalankan siasatan dan tuduh suspek di mahkamah. Kita tidak perlukan kambing hitam dalam pasukan,” kata beliau.

Ujarnya, mana-mana organisasi pun ada kambing hitam, tetapi kambing hitam itu perlu ‘dihalau’ daripada pasukan polis.

“Berani buat, berani tanggung. Jangan jadi pengkhianat dalam pasukan,” katanya.

Saiful Azly mengakui ada beberapa kes melibatkan pegawai dan anggota yang dituduh di mahkamah sebelum ini. Bagi beliau, adalah memalukan apabila mangsa tampil membuat laporan terhadap anggota polis sendiri.

Saiful Azly turut memberi fokus terhadap Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur dalam menangani kadar jenayah ragut dan samun jalanan yang meningkat di ibu kota.
Saiful Azly turut memberi fokus terhadap Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur dalam menangani kadar jenayah ragut dan samun jalanan yang meningkat di ibu kota.

“Ada juga kes seksual melibatkan anggota, siasatan mesti dilaksanakan segera supaya tindakan undang-undang diambil terhadap anggota terbabit,” katanya.

Menurut Saiful Azly lagi, pihaknya perlu mengambil tindakan undang-undang kerana jika mengambil tindakan tatatertib sahaja, suspek hanya dibuang kerja dan ia tidak adil kepada mangsa.

“Setiap tindakan akan dibincangkan bersama Ketua Polis Negara, malah beliau sendiri sentiasa mengutamakan isu integriti dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Pesalah ‘persona non grata'

Sebagai ketua polis, Saiful Azly mempunyai pengalaman luas ketika bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman malah banyak kes scammer dan judi dalam talian berjaya diselesaikan.

“Pengalaman itu saya gunakan di IPK Kuala Lumpur dan mengarahkan jabatan berkaitan menumpaskan sindiket judi dalam talian yang didalangi warga asing dan membuat pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Imigresen,” beritahu beliau.

Saiful Azly berkata, beliau juga mencadangkan supaya ahli sindiket dari luar negara yang ditangkap di negara ini diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’.

“Saranan saya itu telah diguna pakai oleh Ketua Polis Negara dan mendapat sokongan daripada Jabatan Imigresen Malaysia,” cerita beliau.

‘Persona non grata’ adalah status orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan semasa dia berada di sesebuah negara.

Menurut Saiful Azly, seramai 120 individu telah diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’ sejak September hingga Disember lalu.

“Mereka merupakan warga China, Thailand, Taiwan, India, Nigeria dan Vietnam yang disyaki terlibat dengan sindiket judi dalam talian, penipuan dan pelacuran,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saiful Azly berkata, pihaknya telah melaksanakan sebanyak 360 serbuan terhadap premis judi dalam talian pada tahun lalu.

“Seramai 1,471 individu ditangkap dalam serbuan itu. Pada awal tahun ini sehingga 15 Januari lalu pula, sebanyak 123 serbuan dilaksanakan dan seramai 224 individu yang ditangkap,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga melaksanakan sebanyak 131 serbuan ke atas premis yang dijadikan sebagai ‘pusat panggilan’

“Seramai 1,141 tangkapan dilaksanakan pada tahun lalu. Pada tahun ini, sebanyak 17 serbuan telah dibuat dengan 81 individu ditahan,” dedah beliau.

Katanya, dalam Ops Noda sebagai usaha membanteras aktiviti pelacuran pula, sebanyak 1,091 serbuan dan 5,066 tangkapan berjaya dilaksanakan pada tahun lalu.

“Pada tahun ini sebanyak 100 serbuan dan 342 ditangkap,” katanya.