Pasang 2,062 CCTV jadikan KL bandar selamat seperti Amsterdam

Polis Kuala Lumpur menyasarkan untuk memasang 2,062 CCTV sebagai sebahagian usaha menjadikan ibu negara bandar selamat setaraf Amsterdam dan London.
Polis Kuala Lumpur menyasarkan untuk memasang 2,062 CCTV sebagai sebahagian usaha menjadikan ibu negara bandar selamat setaraf Amsterdam dan London.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, beliau telah berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk berbincang mengenai gerak kerjanya, sebelum melapor diri sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pada September lalu.

Beliau berkata, antara arahan Ketua Polis Negara ialah memastikan keadaan di ibu kota aman dan tenteram kerana kawasan berkenaan merupakan hab ekonomi negara.

“Saya perlu memastikan keselamatan di Kuala Lumpur menjadi keutamaan,” katanya.

Saiful Azly berkata, beliau juga telah diarahkan untuk memastikan anggota polis di IPK Kuala Lumpur bertugas dalam keadaan ‘tip top’.

SAIFUL AZLY
SAIFUL AZLY

“Moral mereka (anggota) perlu dipertingkatkan bagi mereka melaksanakan penugasan yang terbaik,” katanya.

Difahamkan, beliau telah membuat kunjungan hormat ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan serta Datuk Mahadi Che Ngah yang dilantik sebagai Datuk Bandar yang baharu.

Artikel Berkaitan:

“Mereka memberi sokongan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur bandar selamat.

“Objektif kita ialah mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar selamat setaraf dengan Amsterdam dan London,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat kertas kerja dan dihantar kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Ketua Polis Negara memberi sokongan terhadap kertas kerja itu serta cadangan yang akan dilaksanakan kelak,” kata beliau.

Tambah CCTV

Tambahnya, antara cadangan tersebut ialah penambahan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu kota.

“Setakat ini, sebanyak 309 CCTV sahaja yang ada untuk pencegahan jenayah dan membantu pegawai saya menjalankan siasatan

“Cadangan itu telah mendapat persetujuan Datuk Bandar, kita akan menambah lagi sebanyak 2,062 CCTV. Perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung lokasi hot spot pemasangan CCTV itu juga sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, pusat kawalan CCTV di Technology Park Malaysia di Bukit Jalil itu bukan sahaja dapat mencegah jenayah, bahkan boleh diguna pakai untuk memantau keadaan trafik di ibu kota, banjir dan keadaan warga kota.

“Penguat kuasa DBKL dan anggota polis akan bersama memantau CCTV di pusat kawalan tersebut,” katanya.

Saiful Azly berkata, pihaknya turut memberi cadangan berkaitan pencahayaan lampu di tempat yang gelap.

“Kita telah maklum kepada DBKL berhubung lokasi yang gelap untuk pemasangan lampu atau CCTV bagi mencegah jenayah,” katanya.

Beliau berkata, cadangan lain adalah pemasangan ‘butang panik’ dan penambahan pondok polis di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita turut mencadangkan penggunaan mobile police command vehicle.

“Jika ada kejadian besar berlaku, kita akan mengadakan perbincangan dengan agensi lain di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur juga mencadangkan satu kawasan khas dijadikan lokasi setempat pusat hiburan.

“Banyak pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur pada masa ini, apa salahnya kita pilih satu kawasan untuk menempatkan kesemua premis hiburan tersebut.

“Senang untuk kita atau DBKL kawal. Saya boleh cadangkan diwujudkan balai polis untuk pemantauan kawasan itu,” katanya.

Saiful Azly berkata, pihaknya juga mencadangkan pencegahan jenayah melalui reka bentuk persekitaran (CPTED) untuk kawasan perumahan.

“Perkara ini memang telah dilaksanakan untuk kawasan perumahan baharu, beberapa elemen harus difikirkan untuk pelaksanaan CPTED iaitu pengawalan semula jadi.

“Pengawalan akses semula jadi, pengukuhan sempadan serta penyelenggaraan dan pengurusan kawasan tersebut,” katanya.