Tiada tolak ansur terhadap perasuah

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

ALHAMDULILLAH, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub atas inisiatif melancarkan Sinar Rasuah Busters.

Ini merupakan julung kali kempen anti rasuah yang dirintis oleh agensi media secara agresif dan tersusun serta melibatkan pelbagai pihak.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak isu mengenai rasuah dibongkarkan secara meluas melibatkan ahli politik, menteri-menteri, penjawat awam khususnya daripada agensi penguatkuasaan, pegawai dari sektor swasta dan orang awam.

Ternyata tangkapan, pertuduhan dan sabitan dalam kes-kes rasuah ini tidak mengurangkan statistik baru kes rasuah.

Adakah kempen-kempen kesedaran yang dijalankan tidak berkesan? Adakah undang-undang yang ada terlalu ‘lembut’? Adakah penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kurang berkesan?

Saya berpendapat, isu rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi berlaku kerana kurangnya ketegasan dalam tindakan yang diambil.

Kebanyakan ketua jabatan masih cuba melindungi pegawai-pegawai mereka yang terlibat dengan rasuah. Alasan yang sering diberikan adalah “Kenapa perlu buka pekung di dada?”

Kalau ada pun bukti dan asas kukuh, pegawai yang terlibat hanya diberikan amaran, ditukarkan ke tempat lain sementara waktu. Selepas isu ‘sejuk’ dan dilupakan, mereka yang terlibat ini akan kembali bertugas di tempat lama. Atau dalam keadaan tertentu, mungkin akan dinaikkan pangkat pula kerana menjadi ‘anak emas’ ketua jabatan.

Dalam polis juga seringkali semangat esprit de corp disalahguna dan dijadikan asas oleh ketua jabatan atau penyelia untuk bersekongkol dengan pelaku rasuah dan melindungi aktiviti ‘najis’ rasuah.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan polis Johor

Pada mesyuarat pertama selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Johor pada 24 Februari 2020, saya telah menegaskan misi dan visi saya dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Polis Johor. Saya telah memberi amaran kepada semua pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Johor agar memegang teguh aspek integriti dan penyeliaan. Tiada tolak ansur.

Misi dan visi ini adalah amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada saya semasa pertemuan dengan beliau sebelum berlepas ke Johor. Beliau dengan tegas telah memberi amaran keras ke atas pegawai dan anggota PDRM agar jangan terlibat dalam rasuah.

Bagi pegawai dan anggota yang terlibat dalam rasuah dan salah laku pula, tiada lagi amaran. Saya tegaskan bahawa pilihan pertama saya adalah membuka kertas siasatan jenayah. Kedua, diserahkan kepada SPRM sekiranya kes ini melibatkan rangkaian dan jumlah yang besar.

Ketiga, barulah disalurkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Johor untuk siasatan dalaman. Walaupun ia siasatan dalaman, keutamaan sepertimana arahan saya kepada Ketua JIPS, ACP Ng Siew Hiang untuk ambil tindakan di bawah Peraturan 37 dan 36 Peraturan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) iaitu buang kerja atau turun pangkat.

Saya akui kecenderungan untuk memberi ‘peluang kedua’ kepada pelaku rasuah dalam PDRM masih berlaku. Ada beberapa kes tatatertib melibatkan anggota yang terlibat dalam pembolosan atau tidak hadir tugas selama 114 hari dan terlibat dalam dadah yang saya telah cadangkan untuk dibuang kerja.

Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan termasuk PDRM masih lagi berlaku kerana kurangnya ketegasan dalam tindakan yang diambil. Gambar hiasan.
Isu rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan termasuk PDRM masih lagi berlaku kerana kurangnya ketegasan dalam tindakan yang diambil. Gambar hiasan.

Ini menunjukkan tiada keseriusan dan kesungguhan dalam kalangan segelintir pegawai kanan PDRM untuk mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu integriti dan rasuah walaupun dalam keadaan isu ini semakin serius.

Pendekatan saya dalam memastikan tindakan tegas ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dalam rasuah dan lain-lain salah laku dapat dilihat pada statistik tangkapan dan pertuduhan di mahkamah melibatkan pegawai dan anggota sejak saya mengambil alih sebagai Ketua Polis Johor.

Seramai 43 anggota dan seorang pegawai kanan telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan tatatertib, salahlaku, rasuah dan dadah. Sementara itu 46 lagi anggota telah dibuang kerja, 57 (4 pegawai dan 53 anggota) ditahan kerja dan seramai 12 orang anggota telah digantung kerja.

Penekanan dalam aspek integriti dan isu rasuah telah mula menampakkan hasilnya dalam kalangan pegawai dan anggota. Pada 1 Disember 2020, ASP Saifullah Jaya@Yahaya dari Pasukan Task Force IPK Johor telah menolak sogokan RM45,000 daripada seorang suspek agar tindakan tidak diambil dalam satu serbuan di pusat hiburan di Seri Alam, Johor.

Pada 2 Disember 2020 pula, seorang pegawai dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menolak sogokan RM29,600 daripada seorang penyeludup rokok di Skudai, Johor.

Kedua-dua kes yang melibatkan wang sogokan besar membuktikan tahap integriti dan keimanan pegawai dan anggota di lapangan dalam konteks menolak rasuah semakin positif.

Kritikan dalaman

Tindakan tegas dan tanpa kompromi saya telah mengundang kritikan dari dalaman PDRM sendiri. Sehingga ada yang berkata “Datuk Ayob ni mau tangkap penjenayah ke atau mau tangkap polis?” Bagi saya suara-suara sumbang itu tidak penting dan langsung tidak menggusarkan saya. Siapa yang melakukan jenayah, saya akan tangkap. Saya telah diberi tanggungjawab, maka saya perlu membersihkan ‘rumah’ saya dahulu, baru saya boleh membersihkan rumah orang lain.

Jika polis sendiri melakukan kesalahan jenayah, maka saya akan melayan mereka seperti penjenayah. Tiada beza. Ramai juga yang berkata “Tak payah jaga tepi kain orang, jagalah tepi kain sendiri je.” Itu bukan prinsip saya.

Dalam memerangi dan mengesan aktiviti rasuah di kalangan pegawai dan anggota, ‘bukan setakat tepi kain orang, tetapi dalam kain pun saya perlu ambil tahu!’ Jika saya tidak mengambil tindakan, semua perancangan saya dalam memerangi jenayah dan penyelewengan di kalangan pegawai dan anggota saya akan gagal.

Ada dakwaan pegawai-pegawai kanan dari Bukit Aman yang turun ke kontinjen perlu dilayan seperti ‘raja’. Makan di restoran-restoran mewah, tidur di hotel mewah, aktiviti riadah, sukan golf dan pelbagai lagi yang perlu disediakan. Tidak boleh tidak.

Sebagai balasan, pegawai-pegawai tersebut akan diberi keutamaan dalam kenaikan pangkat dan jawatan-jawatan yang ‘lumayan’.

Dalam konteks masyarakat pula, khususnya NGO dan ahli politik juga perlu sama berganding bahu untuk membanteras rasuah. Ada kecenderungan dalam kalangan NGO dan ahli politik yang ‘cakap tak serupa bikin’. Contoh yang paling jelas apabila SPRM mengambil tindakan terhadap ahli politik parti A, ahli politik parti B akan memuji tindakan SPRM.

Tetapi apabila tindakan sama diambil ke atas ahli politik parti B, ahli-ahli politik parti B akan mengecam SPRM dengan dakwaan ianya ‘political motivated’. Inilah dilema sebenar yang perlu dihadapi oleh SPRM, PDRM dan lain-lain agensi penguatkuasa. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku dalam konteks kita mahu memerangi rasuah secara ‘holistik’.

Pada masa ahli-ahli politik mengkritik agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan PDRM dengan dakwaan tidak profesional dalam menjalankan tugas, mereka juga tidak boleh langsung ‘disentuh’ oleh SPRM atau PDRM.

Dalam memerangi gejala rasuah juga, aspek keagamaan dan kerohanian amat penting. Sekiranya kita berpegang teguh kepada agama dan nilai-nilai murni yang diajar, sudah tentu kita akan menolak rasuah. Dalam konteks PDRM juga saya selalu tekankan bahawa profesion polis merupakan tugas yang amat mulia, jangan sekali-kali kita cemarkannya dengan salah laku atau pelanggaran undang-undang.

Sentiasa ingat akan kalimah Agong ALLAH dan Muhammad yang tersergam dilambang PDRM. Begitu juga degan lencana ‘Integriti Amalan Kita’ yang tersemat di seragam kita.

Inilah pentingnya seorang ketua menunjukkan sifat-sifat yang baik kepada pegawai bawahan agar ia dilihat sebagai idola dan dapat dijadikan contoh. Tetapi sekiranya pegawai atasan pun melakukan perkara yang sama, bagaimana dia ingin mengajar anak untuk berjalan lurus jika dia sendiri pun masih tidak betul.

Jadi, pegawai atasan perlu menunjukkan tauladan baik agar dapat dicontohi oleh pegawai bawahan. Ini tidak, anak baru lahir, sudah disuntik dengan perkara-perkara dan budaya yang tidak betul. Jadi bagaimana organisasi itu hendak berdiri teguh?

Sebagai pemimpin, kita harus sedar bahawa kita akan dipersoalkan pada hari akhirat kelak mengenai tanggungjawab kita kepada orang yang dipimpin.

* Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ialah Ketua Polis Johor