Peranan semak dan imbang

A
A
A

APABILA proklamasi darurat 2021 dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu, antara kebimbangan ramai terhadap pengisytiharan itu adalah tentang kedudukan serta fungsi badan legislatif dalam sistem politik semasa negara.

Kebimbangan itu muncul selepas umum mengetahui bahawa kesan pengisytiharan darurat selalunya akan mengakibatkan perlembagaan digantung sekaligus meletakkan pentadbiran negara sepenuhnya kepada badan eksekutif.

Hal inilah yang sangat dikhuatiri kerana lazimnya dalam sistem demokrasi, kerajaan hanya dapat berfungsi secara demokratik sekiranya tiga komponen utama yang membentuk kerajaan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman wujud secara serentak dan terpisah disebabkan adanya pembahagian kuasa yang jelas dan terang.

Pembahagian atau pengasingan kuasa inilah yang membezakan kuasa, fungsi dan tanggungjawab masing-masing bagi menjamin kecekapan dan ketelusan pemerintahan kerajaan.

Bagi memastikan mekanisme pengasingan kuasa ini berfungsi dengan baik, prinsip semak dan imbang (check and balance) menjadi kunci utamanya. Hal ini selalunya menjadi kelaziman dalam amalan negara yang mengamalkan pemerintahan berperlembagaan, termasuklah Malaysia.

Pengamal undang-undang Inggeris yang terkenal William Blackstone dalam karyanya Commentaries on the Laws of England secara asasnya menerangkan prinsip semak dan imbang adalah suatu amalan dan pegangan bahawa setiap badan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengehadkan dan memeriksa dua badan yang lain bagi mewujudkan keseimbangan antara ketiga-tiga badan yang terpisah.

Pengasingan kuasa semata-mata masih belum menjamin apa-apa. Sebab kalau ketiga-tiga badan itu tidak dapat bekerjasama disebabkan terlalu terpisah dan khusyuk buat hal sendiri, akhirnya akan menyusahkan urusan berkerajaan.

Timbul masalah ketidakcekapan pentadbiran kerana halangan politik yang melampau (political deadlock & gridlock) disebabkan pengasingan dan pembahagian kuasa itu. Malah, ahli undang-undang juga tahu bahawa tiada korelasi antara kestabilan politik dengan pengasingan kuasa.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu ada sarjana yang mengkritik pengasingan kuasa sebagai tidak praktikal dan artifisial.

Pemusatan kuasa

Dalam disiplin Sains Politik, prinsip semak dan imbang lebih dilihat kepada sifatnya yang mahu menghalang sebarang bentuk pemusatan kuasa (despotism) oleh mana-mana badan kerajaan. Tujuannya untuk mengelakkan sebarang pemonopolian kuasa yang mungkin membawa kepada kediktatoran. Malah amalan semak dan imbang itu juga berbeza dalam sistem politik terutamanya dalam sistem kerajaan berparlimen (Parliamentary) dan berpresiden (Presidential).

Secara asasnya yang berbeza adalah sistem berparlimen tidak membolehkan rakyat memilih secara terus ahli eksekutif (baca Perdana Menteri dan Kabinet) berbanding berpresiden. Kalau di Malaysia wujud ‘dua peranan’ individu dalam kerajaan sebagai Jemaah Menteri (eksekutif) dan ahli parlimen (legislatif).

Walaupun begitu, eksekutif selalunya akan akur kepada legislatif kerana mereka akan melaksanakan apa yang telah diundi oleh kesemua ahli legislatif (kerajaan dan pembangkang) untuk dilaksanakan dan dikuatkuasakan. Jadi secara prinsipnya kekuatan sokongan majoriti ahli legislatif selalunya akan menentukan kekuatan sesebuah kerajaan, bukannya eksekutif itu sendiri.

Berbalik kepada peranan semak dan imbang, jelas tiada satu kerangka khusus bagi menafsirkannya kerana amalan dan prosedurnya berbeza mengikut sistem dan amalan sesebuah negara.

Sebab itu barangkali secara demokratiknya mekanisme semak dan imbang ini menitik beratkan aspek integriti dan kejujuran semua pihak yang memegang amanah, berbanding bagaimana ia harus dilaksanakan.

Jelas konsep itu mahu mewujudkan suatu jaminan kebebasan, keadilan dan ketelusan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing kepada rakyat dan negara.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)