Nizam Tong Gas' dicekup

Suffian (kiri) bersama Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Nazri Mohd Yusof (kanan) menunjukkan mesin canai dan 19 tong gas yang dirampa
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang lelaki sanggup menanggung risiko memecah masuk beberapa kedai makan dan runcit di sekitar daerah ini semata-mata untuk mencuri tong gas.

Bagaimanapun, dia yang dikenali sebagai 'Nizam Tong Gas' akhirnya dicekup dalam serbuan di sebuah gerai di Jalan Pantai Batu Buruk, di sini kira-kira jam 1.30 pagi pada 12 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman berkata, gerakan memburu lelaki berusia 42 tahun itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu susulan lima laporan polis yang diterima dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu.

"Siasatan mendapati suspek yang mengaku bergerak bersendirian itu memecah masuk kedai runcit dan makan sebelum melarikan tong gas yang ada untuk dijual semula dengan harga antara RM80 hingga RM100 berbanding harga pasaran lebih RM150 bagi satu tong gas.

"Suspek yang mengusahakan kedai makan juga mengaku memecah masuk premis antara lima hingga enam premis dan mencuri tong gas yang ada sebelum ia dijual semula kepada pemilik kedai runcit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Suffian berkata, susulan penahanan suspek, sebanyak 19 tong gas berjaya dirampas selain sebuah mesin canai yang dipercayai digunakan untuk memotong mangga pintu dan rantai pada tong gas serta sebuah van jenis Vanette yang dipinjam daripada rakannya untuk digunakan melakukan jenayah berkenaan.

"Susulan penahanan suspek juga, kita percaya dapat menyelesaikan lima kes kecurian tong gas yang dilaporkan sebelum ini," katanya.

Suffian berkata, siasatan mendapati suspek yang positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah sebelum ini.

Katanya, suspek sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas empat pertuduhan iaitu satu pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kedai manakala tiga lagi mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan harta curi pada Ahad lalu.

"Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM13,000," katanya.