X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Malaya congak langkah

Skuad Harimau Malaya belum mendapat panggilan untuk kembali menyertai kem latihan pusat.
A
A

MALAYSIA menyambut baik sekiranya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan untuk menunda kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang dijadualkan Mac ini pada Jun depan.

Pengurus Harimau Malaya Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, penundaan berkenaan akan memberikan peluang untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu membuat persiapan untuk mengharungi aksi kelayakan berkenaan.

Menurutnya, persiapan Harimau Malaya juga akan menjadi lebih mudah berdasarkan kepada jadual sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang kini telah ditunda pada 5 Mac depan.

“Kita harap memang jadi (tunda) pada bulan enam (Jun). Jadi, kita boleh panggil pemain untuk mengikuti kem latihan skuad kebangsaan apabila Liga-M bermula.

“Kalau boleh, kita mahu para pemain yang hadir (kem latihan pusat) berada dalam keadaan cergas. Apa pun semuanya bergantung sama ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) disambung atau tidak.

“Kalau sambung, sudah tentu pemain-pemain yang dipanggil nanti tidak begitu cergas kerana Liga-M belum bermula. Kalau tak sambung, kemungkinan ada pula kelab yang tak mahu lepaskan pemain.

“Tetapi kalau tanya sekarang, sudah tentu kita mahu (Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023) dilangsungkan Jun nanti. Jadi banyak masa untuk buat persiapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini berkemungkinan akan ditunda pada Jun depan atas permintaan beberapa pasukan.

Malah, AFC turut mengesahkan tiga daripada lima negara yang bertanding meminta aksi kelayakan tersebut ditunda.

Mengulas mengenai venue latihan dan penginapan Harimau Malaya, Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mengenal pasti hotel di sekitar Bukit Jalil.

“Sebenarnya kita dah dapat hotel di kawasan Bukit Jalil, cuma tunggu kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana hotel itu di luar gelembung sukan sepertimana ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Ada juga cadangan untuk kita adakan latihan di Johor iaitu venue latihan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tetapi kerajaan tak benarkan, kalau tak memang senang, semua (fasiliti) dah ada di sana,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!