Latihan penghantaran vaksin Covid-19 ke pedalaman berjaya

Latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga, kira-kira 178km atau kira-kira empat jam perjalanan.
Latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga, kira-kira 178km atau kira-kira empat jam perjalanan.
A
A
A

BINTULU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya melaksanakan latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga, kira-kira 178km atau kira-kira empat jam perjalanan ke kawasan pedalaman dari sini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kejayaan menghantar vaksin ke tempat terpencil di Sarawak melalui jalan raya itu, bermakna ia dapat dihantar ke mana-mana tempat di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan menilai keseluruhan proses latihan itu bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dan memperbaikinya sebelum Malaysia mula menerima vaksin sebenar dari Belgium.

"Latihan penghantaran ini merupakan langkah awal paling penting sebelum vaksin sebenar diterima KKM untuk digunakan di pusat-pusat vaksinasi di seluruh Malaysia.

"Memandangkan vaksin Pfizer mesti disimpan dalam pengekalan suhu -75 darjah Celsius, ia adalah satu tugas yang mencabar untuk proses pengagihan dijalankan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penghantaran itu.

Percubaan penghantaran itu juga menjadi latihan kepada petugas kesihatan dalam mengendalikan vaksin mengikut Garis Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang dibangunkan Kementerian Kesihatan.

Disimpan dalam thermal shipper, botol berisi salin diangkut dari Belgium ke Singapura dan kemudian ke Malaysia sebelum dibawa ke Kuching dan kemudian ke Bintulu pagi ini, menempuh perjalanan darat lima jam sebelum tiba di Klinik Kesihatan Belaga.

Thermal shipper itu juga dilengkapi dengan sistem kedudukan global (GPS) dan peranti log data auto yang membolehkan syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer memantau proses dari bandar kilangnya di Puurs, Belgium.

Artikel Berkaitan:

Aaron berkata, objektif utama aktiviti latihan itu adalah untuk menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C (+/-15°C) vaksin Comirnaty sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih.

Sementara itu menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan berkat kementerian itu akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan serta memastikan pelan vaksinasi kebangsaan bagi Covid-19 berjalan lancar.

“Selain itu, aktiviti (latihan penghantaran) ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak berjalan lancar,” katanya.- Bernama