Covid-19 boleh rosakkan sperma, jejas kesuburan lelaki

Reseptor sama digunakan virus itu untuk memasuki tisu paru-paru didakwa juga terdapat pada testikel. - Foto: Agensi
Reseptor sama digunakan virus itu untuk memasuki tisu paru-paru didakwa juga terdapat pada testikel. - Foto: Agensi
A
A
A

PARIS - Kajian terbaharu berdasarkan bukti eksperimen mendakwa Covid-19 mungkin boleh merosakkan kualiti sperma dan mengurangkan tahap kesuburan lelaki.

Laporan diterbitkan menerusi jurnal Reproduction pada Jumaat itu mendapati virus itu juga boleh menyebabkan peningkatan jumlah sel sperma yang mati, keradangan dan tekanan oksidatif.

Behzad Hajizadeh Maleki dan Bakhtyar Tartibian daripada Justus-Liebig University di Jerman menyatakan penyelidikan itu dilakukan terhadap 84 lelaki yang positif Covid-19 selama 60 hari.

“Ia boleh menjangkiti organ pembiakan lelaki dan kesannya tetap tinggi terhadap pesakit Covid-19,” ujar Maleki yang menjelaskan reseptor sama yang digunakan virus tersebut untuk memasuki tisu paru-paru juga terdapat pada testikel.

Bagaimanapun, pakar yang mengulas laporan kajian itu mendapati kesan Covid-19 terhadap golongan itu masih tidak jelas selain keupayaannya untuk menjejaskan tahap kesuburan lelaki masih belum dapat dibuktikan.

Dalam perkembangan lain, penyelidik di selatan Brazil mendakwa mereka mengenal pasti pesakit yang dijangkiti dua varian berbeza Covid-19 secara serentak, sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang jumlah sebenar virus bermutasi di negara itu.

Laporan yang diterbitkan menerusi laman perubatan medRvix pada Rabu itu merupakan kajian pertama yang mengesahkan jangkitan dua varian Covid-19.

Pesakit terbabit yang alami simptom ringan dijangkiti virus bermutasi B.1.1.28 pada akhir November lalu dan pada masa sama didiagnos positif untuk varian kedua. - Agensi

Artikel Berkaitan: