Washington berang perancang pembunuhan wartawan AS dibebas

Gambar fail Ahmed Omar Saeed Sheikh (tengah). Gambar kecil: Daniel Pearl - Foto AFP
Gambar fail Ahmed Omar Saeed Sheikh (tengah). Gambar kecil: Daniel Pearl - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih meluahkan kemarahan berhubung arahan Mahkamah Agung Pakistan yang membebaskan seorang militan kelahiran Britain, Ahmed Omar Saeed Sheikh dan tiga rakan subahatnya kerana merancang pembunuhan seorang wartawan Amerika Syarikat (AS), Daniel Pearl.

Menurut jurucakap pentadbiran Presiden AS, Joe Biden iaitu Jen Psaki, pihaknya tidak bersetuju dan marah dengan keputusan mahkamah tersebut.

Beliau menggesa kerajan Pakistan untuk mengkaji semula keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Agung negara berkenaan.

Pada lewat Khamis lalu, mahkamah itu memutuskan Ahmed Omar dan tiga rakan subahatnya yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan tersebut dibebaskan dengan serta-merta.

"Kami menggesa kerajaan Pakistan untuk mengkaji semula pilihan undang-undangnya termasuk membenarkan AS mendakwa Sheikh (Ahmed Omar) kerana melakukan pembunuhan kejam ke atas seorang warga Amerika yang juga seorang wartawan," kata Psaki.

Pearl ialah seorang ketua biro Asia Selatan akhbar The Wall Street Journal apabila beliau diculik di Karachi pada Januari 2002.

Ketika kejadian, beliau sedang melakukan penyelidikan tentang militan Islam.

Hampir sebulan kemudian, selepas satu siri tuntutan wang tebusan dibuat, satu rakaman video menunjukkan kepalanya dipenggal telah diserahkan kepada beberapa pegawai.

Artikel Berkaitan:

Ahmed Omar pernah belajar di Sekolah Ekonomi London dan terlibat dalam jenayah penculikan warga asing dan dia ditangkap beberapa hari setelah Pearl diculik. - AFP