X

Kindly register in order to view this article
!

Kaitan bulan keliling Kaabah dan doa mustajab tidak benar

Kaitan peristiwa bulan mengelilingi Kaabah dengan waktu doa mustajab seperti yang dikongsi di media sosial adalah palsu dan tidak boleh dipercayai. Gambar kecil: Kenyataan Jabatan Mufti Perak di Facebook pada Jumaat.
A
A

IPOH - Kaitan peristiwa bulan mengelilingi Kaabah dengan waktu doa mustajab seperti yang dikongsi di media sosial adalah palsu dan tidak boleh dipercayai.

Jabatan Mufti Perak dalam satu kenyataan berkata, tiada sumber nas sama ada daripada al-Quran atau hadis yang meriwayatkan hal itu dengan merujuk kepada waktu bulan mengelilingi Kaabah sebagai waktu mustajab berdoa.

Menurutnya, berdasarkan kedudukan dan orbit bulan yang mengelilingi bumi, tidak mungkin untuk bulan mengelilingi Kaabah seperti didakwa kerana ia bercanggah dengan sunnatullah.

"Kenyataan bulan mengelilingi Kaabah ini terus berulang kali ditularkan setiap tahun. Lebih mendukacitakan kenyataan ini disandarkan pula kepada penceramah dan pendakwah atau individu yang tidak tahu menahu akan hal tersebut.

"Sebagai Muslim yang berakhlak, wajarlah kita meneliti setiap kenyataan yang diterima sebelum disampaikan kepada orang lain," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Antara kandungan mesej yang tular itu ialah 'malam nanti pada jam 3.25 pagi bulan akan mengelilingi kaabah dan langit akan berwarna biru muda, inilah saat penerimaan doa, taubat, munajat yang terjadi 100 ribu tahun sekali'.

Sementara itu, Jabatan Mufti Perak menegaskan, cerita seumpama itu pernah dikaitkan dengan individu tertentu seperti bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Datuk Mazlan Othman dan penceramah terkenal, Mufti Ismaik Menk, bagaimanapun telah dinafikan sendiri oleh mereka.

"Tahun ini ia dikaitkan pula dengan penceramah lain seperti Ustaz Abdul Somad (penceramah agama dari Indonesia) yang sebenarnya telah tular dan pernah dinafikannya pada tahun 2019," katanya.

Dalam kenyataan sama, Jabatan Mufti Perak berkata, kedudukan sebenar ketika ini bulan berada dalam fasa bulan penuh bersamaan fenomena bulan istimewa iaitu berada tepat di atas Kaabah.

Katanya, ia berlaku pada 16 Jamadilakhir iaitu 29 Januari pada jam 5.43 pagi waktu Malaysia dan 12.43 pagi waktu Arab Saudi.

"Fenomena ini jarang berlaku namun ia menepati ilmu falak dan akan berulang lagi pada 15 Rabiulakhir iaitu 20 November depan.

"Ia menyamai fenomena Istiwa A'dzam ketika matahari tegak di atas Kaabah di mana kita berpeluang menyemak arah kiblat.

"Meskipun begitu, ia masih tiada kaitan dengan waktu mustajab doa sepertimana dihebohkan di media sosial," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!