'Rider' bantu kucing jalanan

Kumpulan Pet Lover yang terdiri daripada penghantar makanan ini tidak pernah rasa terbeban untuk meluangkan masa mereka memberi makanan selepas penat bekerja seharian.
Kumpulan Pet Lover yang terdiri daripada penghantar makanan ini tidak pernah rasa terbeban untuk meluangkan masa mereka memberi makanan selepas penat bekerja seharian.
A
A
A

KOTA BHARU - Kekangan masa tidak menjadi penghalang niat murni sekumpulan anak muda di Kelantan untuk memberi makanan kepada kucing terbiar di beberapa lokasi di negeri tersebut.

Anak-anak muda tersebut yang bekerja sebagai penghantar makanan akan memastikan mereka mempunyai kesempatan untuk memberi makan kepada haiwan itu setiap hari walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Pet Lover Kelantan, Mohd Saifullah Omar, 31 tahun berkata, kumpulan penghantar makanan tersebut mengambil inisiatif itu bagi memastikan kucing-kucing itu mempunyai makanan memandangkan banyak kedai makan dan restoran ditutup semasa PKP.

"Kami biasanya berpakat untuk bagi makanan di lokasi-lokasi tertentu. Tapi sebab PKP sekarang ini, maka kami berpecah dan masing-masing bagi makanan di lokasi-lokasi yang mereka berhenti.

"Apa yang penting, niat kami sampai, kebanyakan kucing ini berada di pasar, tapi disebabkan ramai peniaga yang tidak membuka kedai, maka haiwan ini semua pun tiada makanan," katanya kepada pemberita di sini pada awal malam Jumaat.

Ada di antara kucing tersebut yang akrab dengan mereka yang terlibat dan ada yang memilih untuk makan diatas tangan.
Ada di antara kucing tersebut yang akrab dengan mereka yang terlibat dan ada yang memilih untuk makan diatas tangan.

Rutin yang dilakukan lebih 50 penghantar makanan tersebut dimulakan sejak setahun yang lalu dan ia mendapat sambutan menggalakkan apabila usaha itu dikongsikan di laman sosial mereka yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Saifullah berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama dan sokongan orang ramai dengan memberikan sumbangan makanan kucing untuk diagihkan.

"Kami dapat banyak juga sumbangan makanan daripada orang ramai dan kami gunakan sebaik mungkin untuk bagi makan pada kucing-kucing ini. Alhamdulillah, selain itu kami bawa juga makanan dari rumah.

“Apa yang paling menyayat hati ialah apabila kita sampai, haiwan ini sudah bersedia menunggu. Kita pun sudah kenal, ada yang sakit, kami bawa ubat dan ada di kalangan kami bawa ke klinik,”katanya.