Peniaga beri alasan tidak tahu SOP PKP

Syahrul Nizam (tiga dari kiri) turut meninjau sekatan jalan raya di Taman Sornam, Bahau pada Jumaat.
Syahrul Nizam (tiga dari kiri) turut meninjau sekatan jalan raya di Taman Sornam, Bahau pada Jumaat.
A
A
A

JEMPOL - Seorang pemilik premis perniagaan pakaian di Bahau dekat sini memberi alasan tidak mengetahui prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika dikompaun pihak berkuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, peniaga terbabit juga mendakwa tiada pihak memaklumkan kepadanya berhubung SOP yang sedang dikuatkuasakan.

“Pihak berkuasa sebelum itu telah memberikan amaran lisan kepadanya supaya menghentikan sementara operasi perniagaan berikutan perniagaan pakaian antara yang tidak dibenarkan ketika PKP ini.

“Namun pemiliknya tetap meneruskan operasi perniagaan menyebabkan kompaun terpaksa dikeluarkan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi pematuhan SOP PKP sekitar Bahau di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook; Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dan Pegawai Penerangan Jempol, Siti Norezrin Mahmod.

Syahrul Nizam berkata, tidak mengetahui SOP merupakan alasan tidak masuk akal kerana maklumat berkaitan SOP boleh diakses dengan mudah termasuk menerusi pelbagai portal kerajaan.

“SOP PKP ini boleh diakses menerusi portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Majlis Perbandaran Jempol dan Pejabat Penerangan Daerah selain siaran di media cetak dan elektronik,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis pakaian itu antara 13 individu yang dikompaun di sekitar Jempol kerana gagal mematuhi SOP sejak PKP 2.0 berkuat kuasa pada 22 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap semua peniaga lebih peka dengan SOP yang dikeluarkan oleh MKN. sekiranya tidak jelas, boleh rujuk mana-mana agensi yang bertanggungjawab,” katanya.