Tiada arahan wajibkan penyewa kondominium lakukan ujian calitan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak pernah mengeluarkan polisi atau arahan yang mewajibkan penyewa termasuk penyewa warga asing atau pelawat melakukan ujian saringan Covid-19 untuk memasuki apartment, kondominium atau kawasan perumahan tertutup.

Bagaimanapun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat demikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

“Kawasan perumahan, kondominium atau apartment tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

“Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang,” katanya menerusi hantaran di laman Twitternya hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengenai dakwaan daripada beberapa ahli Parlimen yang menyatakan keperluan ujian saringan Covid-19 kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

Pada Khamis, dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata, tindakan pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman adalah dibenarkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: