Hadi mohon batal saman berhubung kenyataan menghasut

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon untuk membatalkan saman pemula dua penganut Kristian dari Sabah yang dikemukakan terhadapnya berhubung kenyataan dikeluarkan Presiden Pas itu yang didakwa menghasut penganut agama berkenaan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar, lima tahun lalu.

Permohonan untuk membatalkan saman pemula itu difailkan Abdul Hadi selaku defendan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid semalam.

Peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Abdul Hadi berkata, mahkamah menetapkan 19 April ini untuk keputusan permohonan tersebut.

"Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 11 Mac ini. Sekiranya terdapat hujahan lisan tambahan daripada kedua-dua pihak, ia juga akan dihujahkan pada tarikh sama (19 April)," katanya selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang dijalankan melalui aplikasi dalam talian pada Jumaat.

Abdul Hadi mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula difailkan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua antaranya atas alasan saman itu tiada kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Kedua-dua plaintif memfailkan saman pemula terhadap Abdul Hadi pada 9 Disember tahun lalu, antara lain memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Saman itu difailkan atas alasan Abdul Hadi telah mengeluarkan satu penyataan menghasut penganut atau mubaligh Kristian yang telah diterbitkan dalam sebuah akhbar pada 18 Januari 2016 dan kemudiannya dilaporkan oleh sebuah portal pada hari sama. - Bernama

Artikel Berkaitan: