X

Kindly register in order to view this article
!

Permohonan injunksi 1,102 pembeli awal rumah PR1MA ditolak

Mahkamah menolak permohonan injunksi difailkan 1,102 individu bagi menghalang PR1MA mempromosikan rebat dan memberi diskaun tambahan menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli baharu.
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan injunksi difailkan 1,102 individu bagi menghalang Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mempromosikan rebat dan memberi diskaun tambahan menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli baharu menyebabkan pembeli projek perumahan terdahulu mengalami kerugian.

Injunksi itu dipohon kesemua individu yang merupakan pembeli terawal projek perumahan PR1MA di seluruh negeri antaranya Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Melaka, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak dalam saman pemula difailkan mereka terhadap PR1MA selaku defendan.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili kesemua individu itu ketika dihubungi pemberita berkata, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak permohonan anak guamnya selepas mendapati kesemua plaintif gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka berhak kepada perintah injuksi yang dipohon.

"Mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk membenarkan injunksi berkenaan. Oleh itu, permohonan kesemua plaintif ditolak tanpa sebarang kos," kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding hari ini yang dijalankan melalui aplikasi dalam talian.

Mohd Khairul Azam juga berkata, permohonan anak guamnya ditolak kerana ada isu untuk dibicarakan dalam kes ini dan plaintif boleh mendapat pampasan dan ganti rugi sekiranya tuntutan saman ini berjaya.

Kesemua individu berumur 28 hingga 50 tahun itu memohon perintah injunksi di bawah Aturan 29 Kaedah 1 (2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi menghalang defendan daripada meneruskan kempen, mempromosi apa-apa jenis rebat melalui penyiaran atau pengiklanan dan dilarang meneruskan pengenalan skim rebat PR1MA atau apa-apa acara majlis penyerahan kunci sehingga tindakan ini diputuskan oleh mahkamah.

Permohonan itu difailkan atas alasan pengenalan diskaun bersama dengan HOC oleh PR1MA telah menjejaskan harga jualan dan mendatangkan kerugian kepada pembeli awal projek PR1MA selain mendakwa defendan di dalam melaksanakan skim ini telah menyebabkan harga belian jauh lebih rendah dari harga pasaran projek sehingga menjejaskan pembeli terdahulu.

Pada Julai dan Ogos 2019, seramai 1,102 individu, yang merupakan kumpulan pertama pembeli rumah PR1MA memfailkan saman pemula terhadap agensi perumahan itu bagi memohon deklarasi bahawa rebat oleh PR1MA yang diperkenalkan bersama-sama HOC itu adalah tidak sah.

Mereka mendakwa PR1MA menawarkan rebat sehingga 30 peratus kepada pembeli rumah baharu menyebabkan pembeli rumah terawal mengalami kerugian sehingga RM100,000. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!