X

Kindly register in order to view this article
!

Bakal pengantin di Kedah perlu jalani ujian Covid-19

Bakal pengantin dari mukim, daerah yang diisytiharkan zon merah di Kedah perlu menjalani saringan ujian Covid-19 bermula 1 Februari ini. - Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Bakal pengantin dari mukim, daerah dan negeri di Kedah yang diisytiharkan zon merah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjalani saringan ujian Covid-19 sebelum majlis akad nikah bermula 1 Februari ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, bakal pengantin perlu mengemukakan keputusan Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Covid-19 kepada Pegawai Agama Daerah dalam tempoh tiga hari sebelum akad nikah berlangsung.

Menurutnya, ujian itu boleh dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk swasta dengan kos ujian atas tanggungan sendiri.

“Bakal pengantin yang berlainan daerah dan negeri hendaklah mendapat kebenaran rentas negeri daripada pihak polis, manakala JHEAIK dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tidak mengeluarkan surat sokongan untuk tujuan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

Mohd Yusri berkata, akad nikah hanya dibenarkan diadakan di PAID dan dihadiri jurunikah, saksi, pengantin lelaki dan perempuan serta seorang wali dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Jurunikah pula membabitkan tiga Penolong Pendaftar Nikah Cerai Rujuk (PPNCR) yang bertugas mengikut sistem penggiliran yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas berkaitan kursus praperkahwinan, beliau berkata, kursus secara bersemuka ditangguhkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihaknya tidak mengiktiraf sijil kursus praperkahwinan yang dilaksana secara dalam talian.

"Proses temu duga akan dilakukan bagi menggantikan kursus praperkahwinan dan tujuan permohonan kebenaran berkahwin di Kedah. Pihak PAID berhak menolak kehadiran pemohon sekiranya langkah keselamatan ditetapkan atau apa-apa arahan Pegawai Agama Daerah gagal dipatuhi sepenuhnya," katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk di PAID juga akan beroperasi seperti biasa mengikut SOP ketat berkuat kuasa 1 Februari ini.

“Permohonan kebenaran berkahwin baharu hanya akan diproses oleh PAID bagi pasangan yang mengemukakan dokumen wajib yang lengkap.

"Orang awam yang berurusan berkaitan nikah, cerai dan rujuk hendaklah mematuhi norma baru dan langkah keşelamatan ketika beruruşan di premis, selain tidak mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selsema, serta mengamalkan penjarakan sosial satu meter dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Mohd Yusri berkata, semua urusan digalakkan melalui temu janji dengan menghubungi talian PAID kawasan masing-masing.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!