'Syukur dapat kembali solat Jumaat'

Mohd Noor mengimamkan solat Jumaat pertama dalam tempoh PKP 2.0 di Surau Nurul Islamiah, Taman Meru 2C pada Jumaat.
Mohd Noor mengimamkan solat Jumaat pertama dalam tempoh PKP 2.0 di Surau Nurul Islamiah, Taman Meru 2C pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kebenaran mendirikan solat Jumaat dan fardu secara berjemaah di masjid dan surau disambut penuh kesyukuran penduduk Taman Meru 2C di sini yang sebelum ini pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Lebih 60 penduduk taman itu berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Surau Nurul Islamiah bersama pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Timbalan pengerusi surau, Mohd Noor Abdullah berkata, kali terakhir solat Jumaat didirikan di surau berkenaan adalah pada awal Disember lalu sebaik pelaksanaan PKPD ditamatkan.

"Oleh kerana taman perumahan ini masih berada dalam kawasan zon merah wabak Covid-19, jadi sebarang aktiviti di surau termasuklah solat Jumaat masih tidak dibenarkan.

"Jadi kami amat berterima kasih atas kelonggaran diberikan ini walaupun tidak dalam jumlah yang ramai, namun sangat bersyukur kerana sudah lama tiada solat Jumaat di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Jemaah yang hadir untuk solat Jumaat di Surau Nurul Islamiah, Ipoh pada Jumaat mematuhi SOP ditetapkan.
Jemaah yang hadir untuk solat Jumaat di Surau Nurul Islamiah, Ipoh pada Jumaat mematuhi SOP ditetapkan.

Rabu lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan mendirikan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah dengan kehadiran maksimum 40 orang warganegara berusia 18 hingga 70 tahun.

Kebenaran itu termasuk surau di dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, kolej, sekolah dan kilang-kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Noor berkata, sebaik dimaklumkan akan kebenaran itu, ahli jawatankuasa surau telahpun membuat beberapa persiapan untuk memastikan solat berjemaah di surau berkenaan berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mohd Noor Abdullah
Mohd Noor Abdullah

Katanya, pengawasan rapi perlu dilakukan kepada setiap jemaah yang hadir bagi mengelak penularan wabak berlaku sepertimana dalam tempoh PKPD sebelum ini.

"Ketetapan SOP sama sepertimana sebelum ini dan bagi jemaah pula, kita buat konsep terbuka bermakna siapa datang dahulu, maka merekalah yang dibenarkan masuk.

"Seperti hari ini, ada yang datang menunggu sejak jam 12 tengah hari. Biasanya pintu pagar kita buka satu jam sebelum masuk waktu sehingga bilangan jemaah dibenarkan itu mencukupi," katanya.

Kedudukan ruang solat di Surau Nurul Islamiah, Ipoh dengan pematuhan jarak fizikal pada Jumaat.
Kedudukan ruang solat di Surau Nurul Islamiah, Ipoh dengan pematuhan jarak fizikal pada Jumaat.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Shahrul Izuan Omar, 40, memuji semua jemaah yang hadir kerana patuh dengan garisan panduan ditetapkan antaranya memakai topeng muka dan membawa bersama sejadah dari rumah masing-masing.

"Saya fikir tiada apa perlu dirisaukan. Keadaan bila kita di surau ini sama sahaja macam di tempat lain. Paling penting ikut SOP ditetapkan dan di surau ini, ahli jawatankuasa telah memainkan peranan mereka dengan baik," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan pelaksanaan PKPD di Zon B dan C, Taman Meru 2C selama 14 hari bermula 20 November sehingga 3 Disember membabitkan 2,288 penduduk dan 572 rumah.