Pas tidak pernah bincang isu menggantikan MB Kedah

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak pernah membincangkan isu untuk menggantikan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah seperti didakwa.

Menurut laporan Malaysiakini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu ketika ini.

Takiyuddin turut menepis dakwaan bahawa beliau akan menggantikan Muhammad Sanusi selewat-lewatnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tak timbul langsung isu tukar MB Kedah tu, secara umumnya Pas berpuas hati dengan performance (prestasi) Sanusi.

“Soal pentadbiran akan diperbaiki dari semasa ke semasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu portal Malaysia Dateline memetik sumber berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) itu akan menggantikan Muhammad Sanusi, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.

Khabar angin mengenai kedudukan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri bertiup selepas Muhammad Sanusi dikecam pelbagai pihak berhubung isu cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah.

Sumber itu turut berkata, kontroversi yang dicetuskan oleh Muhammad Sanusi tidak berkesudahan sejak beliau dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-14 menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Antara kontroversi membabitkan menteri besar itu, isu merobohkan kuil di Kuala Kedah dan dakwaan pembelian kereta Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada).