Pengecualian perbaharui LKM, CDL tamat tempoh

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA- Semua pemilik kenderaan persendirian diberi pengecualian memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang tamat tempoh berkuat kuasa 1 Februari ini.

Bagaimanapun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong, pemandu perlu memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurans) kepada penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

"Pemegang LKM dan CDL yang telah atau bakal tamat tempoh hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas tempoh pengecualian diberikan iaitu sehingga 30 April 2021," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pengecualian tersebut tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV).

"Ini kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan untuk perkhidmatan itu boleh dilakukan di semua kaunter dan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semua pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) juga beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," katanya.

Artikel Berkaitan: