Tiada sekatan pergerakan sepenuhnya walau situasi terburuk

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberi jaminan Malaysia tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi walaupun sekiranya berlaku senario terburuk.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan akan terus menumpu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya jumlah kes Covid-19 di negara ini terus meningkat.

”Berdasarkan kepada model semasa, kami percaya bilangan kes akan menurun.

“Seandainya senario terburuk (berlaku), kami tidak akan melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya ke atas ekonomi, kami akan terus menumpukan kepada SOP yang lebih ketat,” katanya dalam satu program temu bual bersama CNBC hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kerajaan akan menutup sektor tertentu atau sektor manakah yang diberi keutamaan untuk ditutup sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) terpaksa dilanjutkan atau pembekalan vaksin Covid-19 tidak berjalan lancar seperti yang dijangkakan.

Beliau berkata, sekiranya jumlah kes terus meningkat, isu-isu utama seperti kepatuhan dan penguatkuasaan SOP perlu ditangani.

Malaysia merekodkan 4,094 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah jangkitan di negara ini sebanyak 198,208 kes setakat ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul menolak pandangan bahawa kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini akan memberi impak kepada prestasi eksport.

Artikel Berkaitan:

“Ya, sememangnya ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan mata wang lain, tetapi perdagangan global diunjur berkembang kira-kira lapan peratus pada 2021 berbanding 2020, dan Malaysia berpeluang untuk meraih manfaat daripadanya.

“Dan saya percaya prestasi ringgit itu tidak akan memberi impak negatif kepada eksport,” katanya. - Bernama