X

Kindly register in order to view this article
!

Keropok Tongkol Makcik Semoh makin popular

Keropok yang sudah masak akan terus dibungkus untuk dihantar kepada pelanggan ketika masih panas.
A
A

MARANG – Keberanian seorang pengusaha keropok mencipta kelainan dengan menjual keropok lekor bersaiz gergasi berbaloi apabila mula popular susulan mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan di seluruh Terengganu.

Hasmah Mohd, 67, dari Kampung Rhu Muda, di sini berkata, idea menghasilkan keropok tongkol besar itu bermula selepas mendapat permintaan daripada pelanggan dan dia menjual secara serius sejak dua tahun lalu.

Dengan berat lebih satu kilogram dan panjang hampir 11 inci, keropok itu yang dikenali sebagai Keropok Tongkol Makcik Semoh kini semakin popular dan digemari pelanggan kerana rasanya yang lembut di dalam dan garing di luar.

Hasmah melihat keropok yang baru diangkat dari periuk sebelum ia dibungkus.
Hasmah melihat keropok yang baru diangkat dari periuk sebelum ia dibungkus.

“Saya mula buat keropok sejak tahun 1993 lagi, ketika itu hanya tumpu kepada keropok keping saja. Tapi selepas 22 tahun, saya terpaksa berhenti atas faktor kesihatan namun ambil keputusan buat balik tahun 2019.

“Ada pelanggan tanya jual ke tak keropok secara tongkol dan apabila ada permintaan, kita buatlah. Ketika itu tidak banyak, kita hanya hasilkan sekitar 20 tongkol sehari,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Hasmah berkata, perniagaannya semakin berkembang pada tahun ini selepas anaknya mempromosikan Keropok Tongkol Makcik Semoh dalam media sosial dengan tempahan pelanggan semakin meningkat hari demi hari.

Dengan berat lebih 1kg dan panjang 11 inci, keropok ini boleh dikatakan bersaiz gergasi berbanding keropok lekor biasa.
Dengan berat lebih 1kg dan panjang 11 inci, keropok ini boleh dikatakan bersaiz gergasi berbanding keropok lekor biasa.

Dibantu suami, Endut Yahya, 74 dan anak-anak serta cucu, dia kini dapat menghasilkan antara 300 hingga 400 tongkol keropok sehari bergantung kepada tempahan pelanggan dan setiap tongkol dijual dengan harga RM13.

“Keropok ini saya tak buat setiap hari. Biasanya buat selang sehari dan untuk hasilkan 300 hingga 400 tongkol keropok, kita perlukan sekitar 200 hingga 250 kilogram isi ikan dan saya guna ikan Selayang,” katanya.

Proses membuat keropok tongkol bermula jam 8 pagi dengan isi ikan yang siap diadun bersama bahan lain akan dibentuk, digentel kemudian direbus selama dua jam menggunakan kayu api bagi mengekalkan keaslian rasanya.

Keropok tongkol makcik Semoh boleh dimakan begitu saja atau dipotong kecil dan digoreng.
Keropok tongkol makcik Semoh boleh dimakan begitu saja atau dipotong kecil dan digoreng.

Pasangan yang mempunyai 12 anak, 19 cucu dan tiga cicit ini bertuah kerana semua kerja bermula dari promosi, mengambil tempahan, menghasilkan keropok, pembungkusan dan penghantaran dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.

“Alhamdulillah, saya ada menerima tempahan dari Melaka yang mahukan 100 tongkol keropok dan harap ini sebagai permulaan untuk Keropok Tongkol Makcik Semoh berkembang ke negeri lain,” katanya.

Hasmah bersama suaminya, Endut melihat keropok yang direbus selama dua jam menggunakan kayu api.
Hasmah bersama suaminya, Endut melihat keropok yang direbus selama dua jam menggunakan kayu api.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!