Pening fikir kediaman baharu 400 anjing, 180 kucing

Badrul Hisham memberikan makan kepada kucing-kucing yang terdapat di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar pada Jumaat.
Badrul Hisham memberikan makan kepada kucing-kucing yang terdapat di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter yang menguruskan hampir 400 ekor anjing dan 180 ekor kucing di Jalan Tanjung Bendahara, dekat sini pening memikirkan lokasi baharu apabila diarahkan berpindah oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melalui satu notis pada Khamis.

Penjaganya, Badrul Hisham Ramlee, 54 berkata, notis yang diterimanya kira-kira jam 3.40 petang itu mengarahkan pihaknya memindahkan semua haiwan dan binaan pusat tersebut yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dalam tempoh tujuh hari.

Menurutnya, pihaknya akur dengan arahan tersebut kerana perlu memberikan laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar yang sedang berjalan.

Sebahagian anjing-anjing yang dijaga di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.
Sebahagian anjing-anjing yang dijaga di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

"Kami akur dengan notis tersebut namun kini kami tidak tahu ke mana perlu bawa semua anjing dan kucing ini kerana melibatkan bilangan hampir 600 ekor semuanya. Kami merayu kepada badan korporat atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mencari tempat baharu kepada haiwan terbiar ini.

"Kami memerlukan tempat sementara seperti kilang lama atau kawasan seluas satu ekar bagi membina pusat baharu sementara," katanya dalam sidang akhbar di Pak Mie Shelter, dekat sini.

Mengulas lanjut, anak sulung kepada Allahyarham Muhammad Azmi Isma dan Halijah Idris, 73 yang merupakan pengasas pusat jagaan haiwan terbiar itu berkata, Datuk Bandaraya Alor Setar dan MBAS sebelum ini beberapa kali turut membantu mencari penempatan baharu di luar daerah Kota Setar namun tidak diterima oleh masyarakat setempat di kawasan itu.

"Ada tiga cadangan sebelum ini iaitu satu di Pokok Sena namun penduduk di situ membantah. Dua lagi di Pendang iaitu berhampiran dengan tapak pelupusan sampah namun tidak sesuai untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

"Satu lagi dalam kawasan kebun getah yang jauh dari penempatan orang tetapi sekarang penduduk sudah mula tanam pokok getah," katanya.

Menurutnya, pihaknya hanya memerlukan penempatan sementara sebelum membeli tanah bagi membina penempatan yang kekal untuk pusat perlindungan tersebut.

Sebahagian anjing-anjing yang dijaga di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.
Sebahagian anjing-anjing yang dijaga di Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar.

"Harga tanah sekarang memang tinggi malah perlu mencari kawasan sesuai dan jauh dari penempatan penduduk. Jadi sempat untuk kami kumpul duit hasil derma orang ramai ditambah dengan duit sendiri.

"Kami mahu realisasikan sebab ini adalah hasrat arwah ayah dan juga ibu yang sedang sakit dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas pembedahan membuang kanser ovarinya pada Khamis," katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Perkhidmatan Pembetungan pada Rabu meminta MBAS membantu menyegerakan pemindahan pusat pemeliharaan anjing dan kucing itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek pembinaan loji rawatan kumbahan.

Badrul Hisham Ramlee
Badrul Hisham Ramlee

Menurutnya, satu mesyuarat bersama pengurusan pusat jagaan haiwan itu telah diadakan pada Rabu dan mereka bersetuju untuk berpindah ke tempat lain manakala MBAS bersedia membantu memindahkan anjing dan kucing tersebut ke tempat baharu.

"Kami memberikan peluang kepada Badrul Hisham untuk pindahkan sendiri haiwan tersebut sebelum 15 Februari depan. Jika gagal, MBAS akan ambil alih tugas pemindahan tersebut.

"MBAS akan mewujudkan satu jawatankuasa teknikal melibatkan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan serta NGO bagi menangani masalah tersebut. Kami bertindak bagi membantu memastikan kelancaran projek pembangunan kerajaan tidak tergendala demi kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Badrul Hisham menunjukkan notis MBAS yang diterimanya pada Khamis.
Badrul Hisham menunjukkan notis MBAS yang diterimanya pada Khamis.