X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri mengaku tidak bersalah dera amah

Lim Siew Lan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi pertuduhan mencederakan pembantu rumahnya, tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di empat Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas enam pertuduhan mencedera dan memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Indonesia tahun lalu.

Pengusaha besi buruk, Lim Tuan Ann, 42, dituduh atas satu pertuduhan manakala isterinya, Lim Siew Lan, 41, lima pertuduhan.

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh, Tuan Ann dan Siew Lan masing-masing didakwa, atas tuduhan memperdagangkan mangsa bagi maksud eksploitasi pengabdian dan pengabdian dengan menggunakan kekerasan ke atas seorang wanita berusia 26 tahun di rumah mereka di Taman Batu, Sentul di sini, pada 24 November 2020.

Tuan Ann dan isterinya disiasat masing-masing mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi empat lagi pertuduhan lain, di hadapan Hakim Mahyon Taib, Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, wanita itu yang juga seorang surirumah, didakwa sengaja menyebabkan cedera parah kepada mangsa termasuk menggunakan air panas.

Perkara didakwa berlaku di lokasi sama antara 1 Ogos hingga 13 November 2020.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman masing-masing penjara maksimum tujuh dan 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Mohamad Shahrizzat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Sivaraj Retinasekharan.

Tuan Ann dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 manakala isterinya, RM48,000 dengan dua penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 Februari depan sebagai sebutan semula kes.

Turut hadir dalam prosiding itu, pegawai penyiasat, Asisten Superintendan G S Baldev Singh dan Inspektor Mohd Fahmi Zakaria.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!