Empat hospital swasta sedia terima pesakit Covid-19

Empat hospital swasta di Melaka bersedia terima pesakit Covid-19 bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka atasi jumlah peningkatan pesakit. - Foto 123RF
Empat hospital swasta di Melaka bersedia terima pesakit Covid-19 bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka atasi jumlah peningkatan pesakit. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Empat hospital swasta bersedia menerima pesakit Covid-19 dalam usaha membantu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengatasi jumlah peningkatan pesakit.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, empat hospital itu ialah Hospital Pantai Ayer Keroh, Hospital Pakar Putra Melaka, Mahkota Medical Centre dan Oriental Melaka Straits Medical Centre.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga dalam usaha menyiapkan kaedah dan proses yang sesuai seperti kos rawatan dan latihan untuk membantu hospital swasta itu sebelum dibuka bagi pesakit Covid19.

"Sebagai langkah kontigensi sekiranya pesakit Covid-19 terlalu ramai di Hospital Melaka, pesakit-pesakit bukan Covid-19 di negeri ini akan dipindahkan ke Hospital Alor Gajah dan Jasin.

"Ini merupakan antara pelan sokongan bagi menangani peningkatan pesakit Covid-19 di negeri ini namun buat masa ini Hospital Melaka yang berfungsi sebagai hospital hybrid Covid-19 belum berdepan masalah lagi," katanya, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ayer Molek berkata, kesemua pesakit Covid-19 berisiko rendah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan PKRC Kolej Kejururawatan Melaka, selain ada juga yang menjalani pengasingan dan pemantauan di rumah bagi pesakit kategori satu (tidak bergejala) dan kategori dua (gejala ringan).

Menurutnya, sehingga kini seramai 3,617 petugas kesihatan yang merangkumi sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan dan pelbagai agensi lain telah digerakkan di Melaka sejak tahun lalu bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dan bekerja terlalu teruk untuk menguruskan pesakit Covid-19.

Katanya, bagi menangani situasi petugas kesihatan yang keletihan dan terjejas emosi, KKM mengambil inisiatif menubuhkan Talian Sokongan Psikososial di peringkat negeri dan pusat serta bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan NGO dalam menganjurkan aktiviti ini.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial turut digerakkan ke hospital serta fasiliti kesihatan untuk menyediakan Pertolongan Cemas Psikologi kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan yang memerlukan.

"JKN juga kini sedang mengenal pasti NGO serta sukarelawan bagi membantu proses vaksinasi yang dijangka bermula pada bulan depan," katanya.