JAIP kumpul lebih lima tan al-Quran rosak akibat banjir

Al-Quran rosak dikumpulkan untuk dihantar ke Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin, Jerantut bagi proses pelupusan.
Al-Quran rosak dikumpulkan untuk dihantar ke Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin, Jerantut bagi proses pelupusan.
A
A
A

KUANTAN - Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berjaya mengumpul lebih lima tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir, dalam operasi khas di daerah Lipis, Jerantut dan Temerloh.

Ketuanya, Noridzuan Abdul Manan berkata, operasi selama tiga hari bermula pada Selasa hingga Khamis lalu turut disertai petugas dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yayasan HubbulQuran dan Yayasan Maghfirah dari Bangi, Selangor.

Noridzuan Abdul Manan
Noridzuan Abdul Manan

"Al-Quran rosak yang dikumpulkan dihantar ke Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin, Jerantut bagi tujuan pelupusan.

"Pihak APM daerah Jerantut membantu proses pemunggahan di Temin bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini dipatuhi sepenuhnya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambah Noridzuan, pihak yayasan membantu dengan menghantar sebuah lori untuk mengangkut al-Quran rosak dan menanggung sepenuhnya kos pelupusan.

Kakitangan Bahagian Penyelidikan JAIP dan PAID memunggah bahan al-Quran rosak yang berjaya dikumpulkan untuk proses pelupusan di Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin, Jerantut.
Kakitangan Bahagian Penyelidikan JAIP dan PAID memunggah bahan al-Quran rosak yang berjaya dikumpulkan untuk proses pelupusan di Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin, Jerantut.

Katanya, pihak yayasan juga menyumbang kira-kira 1,000 naskhah al-Quran baharu untuk diagihkan ke tiga daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Proses pelupusan al-Quran rosak di Pusat Pemuliaan Al-Quran Temin ini dijangka mengambil masa selama dua bulan," katanya.

Sebelum ini JAIP berjaya mengumpul kira-kira satu tan bahan al-Quran yang rosak di daerah Maran bagi pelupusan mengikut syarak.