Video solat Jumaat: NGO Islam di NS buat laporan polis

Norazly (empat dari kanan) bersama wakil NGO hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 pada Jumaat.
Norazly (empat dari kanan) bersama wakil NGO hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Empat NGO Islam di negeri ini membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 pada Jumaat berkaitan rakaman video seorang lelaki yang mendakwa solat Jumaat tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Pengerusi Persatuan Majlis Legasi Rahim Tinju, Norazly Abd Rahim berkata, beliau membuat laporan polis bagi memastikan individu yang cuba mencetuskan isu perkauman dan hasutan dikenakan tindakan.

Katanya, turut sama membuat laporan adalah Pertubuhan Gabungan Abang Negeri Sembilan, Pekida Daerah Seremban dan Geng RS Negeri Sembilan.

Antara gambar tangkap layar yang diambil melalui video yang tular.
Antara gambar tangkap layar yang diambil melalui video yang tular.

"Kami berpendapat video yang ditularkan sejak minggu lalu itu sangat sensitif.

"Kita khuatir video tersebut akan mencetuskan kemarahan dan menggugat kesejahteraan perpaduan masyarakat dalam negara.

"Kita sangat kesal apabila lelaki dalam video tersebut mendakwa jemaah di masjid tidak mengikut SOP sedangkan ada anggota polis bertugas bagi memastikan setiap jemaah patuh SOP," katanya di sini pada Jumaat.

Tambahnya, kerajaan negeri membenarkan perlaksanaan solat Jumaat dengan mengikut kapasiti masjid dan perkara itu sepatutnya tidak perlu dijadikan isu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai video yang berdurasi 2.09 minit itu, menunjukkan seorang individu sedang merakam situasi jemaah keluar dari masjid di Masjid Taqwa Paroi yang baru selesai Solat Jumaat.

Menerusi video tersebut, lelaki tersebut mendakwa mereka datang ke masjid itu secara beramai-ramai dan tidak mematuhi SOP.