Op Carilamat nelayan hilang ditamatkan

Bot dinaiki tiga nelayan warga Myanmar karam selepas berlanggar dengan sebuah kapal dagang berhampiran Pulau Talang pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Bot dinaiki tiga nelayan warga Myanmar karam selepas berlanggar dengan sebuah kapal dagang berhampiran Pulau Talang pada Selasa. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LUMUT - Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang nelayan hilang selepas bot yang dinaiki karam dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal dagang kira-kira 10.3 batu nautika Pulau Talang pada Selasa lalu ditamatkan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, operasi itu ditamatkan pada Khamis selepas tiada sebarang petunjuk ditemui.

Menurutnya, operasi dilaksanakan di kawasan seluas 396.49 batu nautika persegi dari lokasi kejadian.

Dua nelayan warga Myanmar (duduk, kiri dan dua kiri) diselamatkan Maritim Perak, manakala seorang lagi rakan senegara masih hilang selepas bot dinaiki karam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Dua nelayan warga Myanmar (duduk, kiri dan dua kiri) diselamatkan Maritim Perak, manakala seorang lagi rakan senegara masih hilang selepas bot dinaiki karam. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

“Operasi diaktifkan selepas menerima laporan kehilangan seorang nelayan warga Myanmar berusia 26 tahun itu.

"Maritim negeri bersama Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Op Carilamat membabitkan 154 anggota termasuk nelayan tempatan di perairan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Shahrizan berkata, sebanyak lima aset digunakan dan dua pasukan penyelam serta Pasukan Tindakan Khas (PTK) daripada pelbagai agensi terlibat sepanjang tiga hari Op Carilamat itu.

“Op Carilamat melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Artikel Berkaitan:

“Maritim sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang awak-awak hilang selepas bot dinaiki bersama dua rakan lain karam akibat dilanggar sebuah kapal dagang membawa muatan pasir di perairan Lumut pada pagi Selasa.

Pelanggaran menyebabkan bot nelayan dinaiki tiga awak-awak warga Myanmar itu tenggelam dan dua daripada mereka diselamatkan Maritim Lumut.

ARTIKEL BERKAITAN: Awak-awak hilang, bot dilanggar kapal dagang