Bakat muzik jadi sandaran raih pendapatan pada waktu sukar

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

SEJAK penularan Covid-19, ramai rakyat Malaysia yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan hakiki. Ada yang kena potong gaji sehingga terpaksa melakukan apa sahaja pekerjaan untuk menampung kekurangan pendapatan.

Ada yang memanfaatkan bakat dalam bidang masakan dengan menjual pelbagai jenis makanan sama ada di gerai-gerai tepi jalan atau berniaga atas talian.

Paling ketara ketika ini ramai yang menyertai cabang perkhidmatan penghantaran seperti penghantar makanan dan kurier sebagai pekerjaan tetap atau separuh masa.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan, Merak Jalanan tertarik dengan satu akaun Facebook seorang pemuzik bernama Jihair Adey yang memanfaatkan media sosial sebagai medium mencari pendapatan.

Dalam ruangan komen, beliau meminta pelayar FB yang sudi menonton persembahan beliau dan kumpulannya untuk menderma seikhlas hati

Boleh dikatakan sepanjang PKP 2.0, sudah kerap beliau membuat persembahan yang dilakukan di dalam studio.

Melihat persembahannya, ternyata sangat menghiburkan. Tambahan pula semua ahli kumpulan boleh menyanyi dengan baik dan penyanyinya bijak berkomunikasi dengan audien.

Purata setiap kali membuat persembahan, beliau berjaya meraih tontonan sekitar 2,000 hingga 3,000 pelayar FB, malah adakala lebih daripada itu.

Artikel Berkaitan:

Melihat komen di FB Live tersebut, ramai pelayar yang menyokong dan mengatakan telah pun menderma kerana berpuas hati dengan persembahan mereka.

Pada pandangan Merak Jalanan, walaupun pendapatan yang diraih tidak tetap, sekurang-kurangnya beliau berusaha untuk terus mencari rezeki dan bijak memanfaatkan bakat yang ada ketika zaman kemelesetan ekonomi.

Jadi, ingatlah walau sesukar mana pun hidup kita, jika bijak memanfaatkan anugerah dan bakat yang dimiliki pasti ada jalan menuju ke arah kesenangan.