Ramai rakyat Malaysia sedia lakukan ujian vaksin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SATU perkembangan menarik apabila Malaysia akan turut terlibat dalam kajian menguji fasa tiga vaksin Covid-19, SARS-COV-2.

Dalam sidang akhbar pada Rabu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia akan terlibat dalam ujian klinikal vaksin berkenaan yang ditaja oleh Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Ujian tersebut menggunakan platform vaksin tidak aktif seperti platform yang digunakan Sinopharm (China), CoronaVac dari Shinovac (China) dan Covaxin dari Bharat Viotech (India).

Seramai 3,000 orang sukarelawan tempatan akan terlibat untuk diuji bagi tempoh kajian selama 13 bulan yang melibatkan sembilan buah hospital terpilih di seluruh Malaysia.

Ujian fasa satu dan dua telah pun dijalankan di China dan keputusan diterima sukarelawan di sana merekodkan tindak balas yang baik.

Menariknya, Dr Adham berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dengan lebih 7,000 orang awam berminat untuk terlibat menjadi sukarelawan sepanjang tempoh kajian.

Menurutnya, sukarelawan terpilih akan menjalani proses yang ketat dan pelaksanaan ujian vaksin berkenaan memenuhi piawaian antarabangsa.

Ujian klinikal itu turut dipantau secara ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara Malaysia serta Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelas pada saat munculnya kegusaran sesetengah pihak terhadap kesan pengambilan vaksin, sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang bersedia untuk menjalani ujian berkenaan.

Dalam pada itu, Malaysia juga akan memperoleh vaksin pertama daripada syarikat farmaseutikal Pfizer sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.

Kemudian, penghantaran bekalan pertama sebanyak satu juta dos pada suku pertama tahun depan, disusuli dengan 1.7 juta (suku kedua), 5.8 juta (suku ketiga) dan 4.3 juta dos pada suku keempat tahun depan.

Walaupun beberapa negara jiran, Singapura dan Indonesia telah memperoleh vaksin pertama, sebenarnya Malaysia bukanlah terlalu lewat atau ketinggalan.