17 PATI ditahan cuba masuk Malaysia

PATI warga Indonesia yang ditahan di Pantai Teluk Punggai, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.
PATI warga Indonesia yang ditahan di Pantai Teluk Punggai, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan kerana disyaki masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah di Pantai Teluk Punggai, Kota Tinggi, Johor pada awal pagi Khamis.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka yang ditahan kira-kira jam 2 pagi di sektor Ops Benteng Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) itu terdiri daripada 13 lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun.

“Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan pergerakan bot yang mencurigakan dari arah Pulau Batan ke perairan Malaysia pada jam 10.50 malam semalam (Rabu).

“Pada jam 1.30 pagi, petugas pos pemerhati telah mengesan sebuah bot yang mendarat di Pantai Teluk Pungai, dan menahan 16 pendatang tanpa izin dan seorang lagi ditahan hasil maklumat pengesanan daripada Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP),” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, pihaknya turut merampas wang tunai pelbagai mata wang, jam tangan, barangan kemas dan telefon bimbit, yang dianggar bernilai RM25,262.14.

“Kesemua mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19, sebelum diserah kepada Jabatan Imigresen,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: