X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Pandemik rasuah merentas dunia

A
A

PANDEMIK berbeza dengan epidemik. Epidemik ialah penyakit yang merebak setempat di satu negara atau satu rantau. Pandemik pula merebak ke luar sempadan, merentas banyak negara, malah merentas di seluruh benua.

Rasuah adalah pandemik iaitu virus sosial yang merentas sempadan di seluruh dunia. Sehingga kini tidak nampak virus rasuah boleh dirawat sepenuhnya oleh banyak negara. Tiada negara yang sifar rasuah. Rasuah hampir dikatakan mustahil untuk dihapuskan.

Mengikut Transperancy International (TI), sebuah agensi yang memantau dan mengumpul maklumat mengenai tahap rasuah, setiap negara diukur dengan indeks persepsi rasuah (CPI). Ternyata tidak ada negara yang terkecuali daripada rasuah.

Rasuah tersalur melalui pelbagai bentuk. Rasuah perniagaan, rasuah politik, rasuah pengurusan, rasuah pangkat dan gelaran. Rasuah kini seolah-olah sesawang yang menjalar ke semua sektor.

Sejarah rasuah seumur dengan kejadian insan. Ia ada sejak terciptanya Adam. Syaitan merasuah bahagia palsu kepada Hawa dan Adam.

Pujukan syaitan telah menggoda kedua-duanya hingga tertipu dengan rasuah kebahagiaan yang sebenarnya suatu kemungkaran. Yang mudah dibisik dan digoda dalam kalangan manusia oleh syaitan adalah menghembuskan kesenangan wang dan harta melalui jalan pintas iaitu rasuah.

Rasuah menjadi virus yang paling mudah tersebar untuk merosakkan seseorang insan sehingga boleh memporak-perandakan keluarga, menggugat keselamatan awam, menghancurkan alam dan negara. Bermula daripada seorang individu, virus rasuah menjalar kepada masyarakat sehingga merasuk mereka yang berpangkat dan berkuasa.

Cepat tergoda dan ternoda untuk mendapat sesuatu yang diidamkan melalui rasuah menjadi perangkap kepada mereka yang mudah terpancing dengan keselesaan sesaat dan kesenangan sebentar.

Pancingannya mudah. Wang, harta, wanita, percutian, pangkat, gelaran, pengiktirafan atau keselamatan. Semua-nya adalah umpan yang sukar ditolak. Tidak ada pelitup muka mahupun penjarakan sosial yang boleh melindungi virus rasuah.

Rasulullah SAW menyatakan kalimah ar-rosyi (pemberi) dan murtasyi (penerima) rasuah, kedua-duanya dilaknat.

Dua watak itulah yang merupakan sumber rasuah. Islam berpandukan ukuran piawai dalam mencegah rasuah iaitu ukuran harta daripada hasil rasuah yang diguna boleh menjadi darah daging dalam tubuh penerima sehingga menjalar dalam makan minum isteri dan anak.

Jika hasil rasuah berada dalam tubuh ahli keluarga, ia bakal menjejaskan kesucian kehidupan selama bergenerasi yang akan berhujung di neraka

Bermakna ia lebih parah daripada Covid-19 kerana virus itu ada tempoh hayat dan boleh dibunuh dengan vaksin tetapi virus rasuah menjalar ke dalam sistem kehidupan.

Malaysia menduduki tangga ke-51 daripada 180 negara. Sebaris Rwanda, Granada, Itali dan Arab Saudi dalam Indeks Persepsi Rasuah mengikut laporan TI pada tahun 2019. 10 negara teratas paling sedikit rasuah, tidak ada negara Islam. Di tangga pertama, New Zealand dan ke-10 ialah Jerman.

Pada 2019, negara teratas paling minimum kes rasuah adalah negara bukan Islam, New Zealand. Paling bawah yang sangat tinggi kes rasuah ialah negara Islam iaitu Somalia. Demikian realiti yang sangat memedihkan hati umat Islam. Penyuap dan penerima suapan nampaknya berleluasa di negara umat Islam. Kenapa ia boleh berlaku?

Rasuah sukar dibuktikan kerana antara penyuap dan penerima suapan saling merestui. Ada yang terhukum, ada yang terlepas kerana tidak cukup bukti. Namun, antara keduanya, tahu benar apa yang berlaku.

Antara pemberi dan penerima rasuah, pemberi rasuahlah yang lebih tahu tujuan rasuah kerana ada habuan yang ingin diperoleh dengan cara mudah. Penerima hanya pihak yang mengambil kesempatan untuk mencari jalan pintas meraih keuntungan.

Jika rasuah seumpama pandemik Covid-19 yang merebak merentas sempadan, maka pandemik rasuah punya keupayaan yang sukar dibendung kerana ia hanya punya vaksin dari dalam sistem atau ekologi yang dikawal kuat oleh integriti setiap individu, sama ada menteri, ketua pentadbiran kerajaan atau pengurus media.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!