Melahirkan generasi AI berkualiti

A
A
A

ADA hikmah yang tersembunyi di sebalik pandemik Covid-19. Cara pembelajaran semuanya menggunakan kaedah online. Ia mendedahkan rakyat Malaysia khususnya saintis muda kepada minat terhadap kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

AI kini dianggap komponen terpenting dalam segenap aspek kehidupan manusia. AI juga boleh menilai kebolehan pemain bola sepak. AI juga komponen utama dalam pembikinan kereta. Pendek kata, AI pelengkap kehidupan manusia. Justeru, di manakah kedudukan Malaysia dalam carta AI ketika ini?

Penulis menerima e-mel daripada sahabat lama di Amerika Syarikat (AS). Beliau amat berbangga dengan pencapaian AS selaku Raja No 1 dalam carta AI. Radio Television Luxembourg (RTL Today) beberapa hari lalu mendedahkan AS sedang mendahului perlumbaan membangunkan teknologi AI, China pula mengejar rapat dari belakang.

RTL ialah sebuah organisasi media antarabangsa berpusat di Luxembourg dan Cologne. Ia mengendalikan 68 saluran televisyen dan 31 stesen radio di Jerman serta Perancis. RTL mengingatkan negara Eropah bahawa Kesatuan Eropah (EU) ketinggalan jauh di belakang AS dan China dalam penyelidikan, pembangunan serta pengaplikasian berkaitan AI.

Kajian 2020 menunjukkan AS mendahului dengan skor keseluruhan 44.6 mata daripada skala 100 mata. China meraih 32 mata, manakala Kesatuan Eropah 23.3 mata.

Namun, China telah membangunkan lebih 500 unit superkomputer paling berkuasa di dunia. China juga telah menerbitkan hampir 25,000 makalah penyelidikan bidang AI dalam tempoh dua tahun bermula 2018 berbanding AS hanya 16,000 makalah bagi tempoh sama.

Penulis berpendapat untuk sesebuah negara terus berdaya saing, kita perlu meningkatkan insentif cukai pendapatan tenaga pakar yang terlibat dan memperluaskan institusi penyelidikan awam serta membangunkan pusat teknologi kecemerlangan dalam pelbagai bidang menjurus kepada pembangunan dan pengkomersialan teknologi AI.

Malaysia perlu beri peluang kepada jurutera tempatan berpengalaman dalam bidang pengurusan berisiko tinggi dan teknologi yang pernah mengatasi titik bengik membangun teknologi masa depan di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Pengalaman

Begitu juga saintis yang telah bergelumang dengan jatuh bangun pengurusan syarikat teknologi tinggi antarabangsa untuk menerajui agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), universiti awam dan swasta serta pusat latihan berteraskan industri termaju, teknologi serta kemahiran tinggi profesional. Mereka berkebolehan melihat senario masa depan berdasarkan pengalaman.

Perkara itu telah dikiaskan ALLAH SWT dalam Surah Ali ‘Imran [3:79] bermaksud: “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang ALLAH berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia, hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan penyembah ALLAH. Akan tetapi (dia berkata), hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”

Apa yang berlaku di China ialah syarikat berteknologi tinggi tempatan yang bercita-cita menjadi pemimpin global bidang teknologi masa depan AI dalam tempoh 10 hingga 30 tahun mendatang menerima sokongan penuh daripada pemerintah.

Sebagai contoh, syarikat Megvii yang dimulakan Yin Qi, saintis daripada Pusat Teknologi Zhongguancun, Beijing bersama dua rakannya. Megvii mempelopori teknologi algoritma pengenalan wajah yang telah berupaya menyediakan perisian pengesahan wajah pihak ketiga terbesar di dunia.

Kesimpulannya, penulis berpendapat Malaysia perlu agresif membantu syarikat tempatan dan pusat pengajian kemahiran berteraskan industri dan teknologi tinggi memenuhi hasrat mereka menjadi pemimpin global dalam bidang AI atau bidang-bidang utama di bawah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam tempoh singkat.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Sukan Kejuruteraan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor