Kimma nafi Pejuang mahu ambil alih parti

Wujud dakwaan parti Pejuang sedang berunding untuk mengambil alih Kimma.
Wujud dakwaan parti Pejuang sedang berunding untuk mengambil alih Kimma.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menyangkal dakwaan bahawa kepimpinan tertinggi parti itu ada membuat rundingan dan tawaran berhubung pengambilalihan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Setiausaha Agungnya, Hussein Jamal Mahamad berkata, ia hanyalah satu tohmahan yang sengaja dicetuskan pihak tertenu demi survival dan kepentingan politik mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa Presiden Kimma, saya atau mana-mana pemimpin tertinggi tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan Pejuang dan perkara tersebut tidak pernah terlintas di pemikiran kami.

“Kimma akan tetap bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menyokong pentadbiran kerajaan. Hala tuju Kimma adalah jelas dan sekiranya terdapat perubahan, ia akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi dan perwakilan dari seluruh negara di Perhimpunan Agung Kimma,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, wujud laporan memetik sumber yang rapat dengan Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan parti itu sedang berunding untuk mengambil alih Kimma.

Bagaimanapun, perkara berkenaan dinafikan Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri itu, Abu Bakar Yahya.

Sementara itu, Hussein turut berharap agar semua pihak yang cuba menangguk di air yang keruh menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

“Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang Malaysia sedang diambil terhadap pihak yang berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: