Bom lama masih aktif ditemui

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Sebutir bom lama yang berkarat dan masih aktif ditemukan dengan keadaan separuh tertanam di kawasan ladang sawit di Felda Perasu dekat sini petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, bom lama itu ditemukan oleh seorang penduduk kawasan berdekatan kira-kira jam 7.48 malam, sebelum membuat laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota bergegas ke lokasi dan mengesahkan penemuan sebutir bom lama itu, kemudian mengambil tindakan segera menghalang orang ramai memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, beberapa anggota juga terpaksa mengawal sepenuh masa di kawasan itu, sebelum Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan (IPK) tiba.

“UPB tiba jam 1 tengah hari semalam untuk melakukan siasatan dan penilaian bom terbabit dan mengesahkan masih aktif,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Choon Foo berkata, UPB terus melakukan persiapan segera untuk menjalankan kerja memusnahkan bom itu dan memulakan operasi memusnahkan bom terbabit pada 12.30 tengah hari pada Khamis yang mengambil masa kira-kira satu jam.

“Kita dimaklumkan selesai memusnahkan bom lama itu jam 1.30 tengah hari tadi tanpa ada berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Choon Foo berkata, kejadian penemuan bom lama itu adalah yang pertama kali berlaku dan beliau memuji penduduk yang menemuinya kerana cepat bertindak dengan melaporkan perkara itu kepada polis.

Artikel Berkaitan:

“Kita harapkan kerjasama seumpama itu diteruskan supaya keselamatan dapat dijaga bersama bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. - Bernama