Pengarah MPKj digantung tugas

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KAJANG - Seorang pengarah jabatan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu atas pertuduhan salah guna kuasa pada lima tahun lalu digantung tugas sementara.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga keputusan mahkamah dibuat.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor mengambil maklum mengenai siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pengarah terlibat.

“Pengarah jabatan yang berkenaan telah diarahkan berhenti tugas sementara sehingga keputusan mahkamah dibuat.

“Kerajaan negeri Selangor mengalu-alukan sebarang tindakan wajar daripada pihak berwajib bagi memastikan ketelusan dalam semua agensi di bawah pentadbirannya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan salah guna kuasa iaitu memberi kelulusan kebenaran merancang kepada adik perempuannya pada lima tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Nizam Sahari, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya yang merupakan kontraktor pembinaan dan pengusaha stesen minyak berusia 50 tahun bagi cadangan projek bangunan perniagaan empat unit kedai pejabat atas nama Tetuan Permata Cerah Sdn Bhd di daerah Hulu Langat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua jabatan PBT didakwa dapatkan suapan untuk adik