GPMS sokong kepelbagaian kaedah PdPR

Gambar kecil: Mohd Alif Anas
Gambar kecil: Mohd Alif Anas
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong kepelbagaian kaedah yang digunapakai bagi proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) selagi ia memenuhi aspirasi pendidikan untuk semua.

Presiden GPMS, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya turut mengambil maklum dan menghargai segala usaha guru-guru untuk meneruskan proses pengajaran walaupun terpaksa melakukannya di luar normal biasa.

"GPMS menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi akaun Facebook beliau kelmarin (Selasa) bahawa pelbagai kaedah boleh dilaksanakan sepanjang proses PdPR dan ia tidak terhad kepada kaedah tertentu sahaja.

"Justeru, GPMS berpendapat proses pembelajaran dan pengajaran secara langsung menerusi pelbagai aplikasi dalam talian ataupun menerusi sistem penggunaan modul perlu diteruskan walaupun dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, langkah tersebut adalah demi menjaga kredibiliti profesion perguruan dan juga keperluan pelajar untuk mendapat ilmu secara formal.

"GPMS juga menyeru kerjasama semua pihak supaya proses PdPR dapat dilaksanakan sebaik mungkin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar proses pendidikan yang berterusan tidak terganggu.

"Pihak GPMS juga merakamkan penghargaan kepada golongan ibu bapa kerana bertoleransi dan memberikan kerjasama kepada pihak guru," katanya.

Artikel Berkaitan: