X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa Maqis akan diperluas, kata Ahmad Hamzah

Ahmad Hamzah
A
A

SHAH ALAM - Kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan diperluaskan bagi menangani isu penyeludupan produk pertanian termasuk bekalan daging import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kerajaan sedang menyemak pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) bagi tujuan itu.

Menurut laporan portal Berita Harian, beliau menjangkakan aspek penguatkuasaan dan isu penyeludupan produk pertanian akan lebih berkesan serta mampu ditangani menerusi pindaan akta tersebut.

Beliau berkata, Maqis pada masa ini hanya berkuasa di pintu masuk iaitu laut, darat dan udara bagi pemeriksaan produk pertanian.

"Kita dalam peringkat pemeriksaan membabitkan pindaan akta itu untuk memperluaskan tanggungjawab serta kuasa Maqis dan berharap ia dapat disegerakan (selepas Parlimen bersidang).

"Ia membabitkan usaha ke arah meluaskan kuasa Maqis berbanding sekarang yang hanya terhad di pintu masuk. Sepatutnya ia lebih luas kerana ini memang bidang Maqis," katanya pada Khamis.

Terdahulu, beberapa serbuan dilaksanakan agensi penguatkuasaan termasuk Maqis Pulau Pinang yang merampas daging kambing dari New Zealand tanpa logo halal diiktiraf seberat 22,861 kilogram bernilai lebih RM480,000 di Terminal Kontena Butterworth Utara.

Menjawab persoalan tersebut, Ahmad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan syarikat pengimport mencuba nasib membawa masuk bekalan tidak diiktiraf termasuk logo halal susulan permintaan tinggi di negara ini.

Beliau berkata, tahap sara diri daging negara ketika ini hanya 23 peratus sehingga menyebabkan terpaksa bergantung kepada daging import bagi menampung permintaan.

"Permintaan ketika ini tinggi sebab ramai orang makan di rumah. Atas sebab ini, kita membuka peluang kepada mana-mana syarikat untuk memohon permit import (AP) bagi tujuan mengimport bekalan.

"Kita tidak mempunyai had memberikan AP dalam kalangan syarikat, namun perlu memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pemeriksaan tetap dilaksanakan secara ketat khususnya di pintu masuk bagi memastikan pemegang AP mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Sehingga kini, katanya, terdapat sebanyak 318 syarikat pengimport yang berdaftar secara pentadbiran dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sehingga Disember lalu dengan 125 daripadanya ialah syarikat bumiputera.

Tamah beliau, JPV bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meninjau lokasi loji penyembelihan di luar negara sebelum disahkan bagi tempoh satu hingga tiga tahun.

“Ia adalah usaha kerajaan dalam memastikan bekalan produk pertanian yang dibawa masuk ke negara ini mengikut piawaian ditetapkan.

"Dari semasa ke semasa, wakil badan Islam di negara berkenaan dilantik untuk melakukan pemantauan secara berkala. Ia bagi memastikan protokol import yang dipersetujui dipatuhi bersama. Ini sudah diamalkan dan ditambah baik sejak tahun 2016," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!