Maritim giatkan rondaan di perairan Pahang sepanjang PKP

Anggota Maritim Malaysia Pahang melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dalam rondaan pemantauan di perairan Pahang bagi memastikan nelayan mematuhi peraturan dan mengutamakan aspek keselamatan semasa di laut.
Anggota Maritim Malaysia Pahang melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan dalam rondaan pemantauan di perairan Pahang bagi memastikan nelayan mematuhi peraturan dan mengutamakan aspek keselamatan semasa di laut.
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang mempergiatkan rondaan di laut sekitar sektor operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pemantauan dilakukan menerusi Ops Makmur dan Ops Khas Kuda Laut di kawasan perairan negeri ini bagi membendung jenayah rentas sempadan khususnya membabitkan kemasukan bot nelayan asing dari Vietnam.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19 berpunca daripada nelayan warga asing.

"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 20 tangkapan terhadap bot nelayan asing berjaya dilakukan, manakala pada awal tahun ini satu kes tangkapan pengedaran dadah dan dua bot nelayan asing berjaya digagalkan," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Amran berkata, warga komuniti maritim terus diingatkan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 2.0 ini.

"Mereka yang didapati melanggar perintah berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Kita turut menasihatkan para nelayan tempatan yang turun ke laut pada musim tengkujuh ini supaya mengambil langkah keselamatan dengan menyediakan peralatan keselamatan secukupnya seperti ditetapkan dalam syarat lesen.

"Antara peralatan yang perlu ada termasukjaket keselamatan dan pelampung, manakala bot mereka juga perlu dilengkapi sistem pengesanan global (GPS) serta alat perhubungan radio," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di laut dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang kesalahan dan pelanggaran undang-undang serta memastikan perairan Pahang sentiasa selamat, aman dan terkawal.

"Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.