Covid-19: Lebih 1.41 juta rakyat Turki terima vaksin China

Gambar hiasan. - Foto Agensi
Gambar hiasan. - Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Setakat Selasa lebih 1.41 juta rakyat Turki sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac selepas penggunaan kecemasan vaksin berkenaan diluluskan pihak berkuasa Turki dua minggu lalu.

Ia sekali gus menyaksikan bermulanya program pemvaksinan di negara itu didahului petugas kesihatan yang kebanyakannya kini telah disuntik dos pertama.

Rata-rata kakitangan perubatan Turki memberi reaksi positif terhadap vaksin China, yang disifatkan telah menyuntik keyakinan kepada rakyat tempatan untuk memerangi pandemik Covid-19.

Ketua penolong doktor sebuah hospital di Istanbul, Gurbuz Ayaz merupakan doktor pertama di hospital itu yang menerima suntikan vaksin China.

Beliau gembira menjadi orang pertama disuntik dan menyuarakan keyakinan vaksin itu mampu memberi perlindungan kepada rakyat Turki.

Sementara itu, doktor Hospital Bandar Ankara, Ahmet Omma selaku petugas di barisan hadapan untuk melawan Covid-19 dan pernah dijangkiti wabak itu, berkata vaksin China membangkitkan keyakinan petugas kesihatan pada saat getir untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Beliau yakin vaksin itu mampu membantu negaranya menewaskan wabak, sekali gus meringankan beban petugas kesihatan dan kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: